comscore
Tumpuan :
Nasional

Lebih 600 bakal jemaah umrah tuntut wang dikembalikan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Lebih 600 bakal jemaah umrah memberi tempoh sehingga awal bulan depan kepada syarikat pengendali umrah untuk mengembalikan semula wang bayaran kerana gagal menerbangkan mereka ke Tanah Suci.

Menurut Ketua Jawatankuasa Bertindak Mangsa Umrah bagi syarikat pengendali tersebut, Rusman Abu Samah, jika syarikat terbabit tidak berbuat demikian, pihaknya akan memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Beliau berkata, jumlah tuntutan melebihi RM6.2 juta membabitkan kira-kira 602 mangsa bagi tarikh perjalanan umrah sejak Disember 2020 sehingga 19 Mei lalu.

“Data (jumlah tuntutan) ini berdasarkan invois yang diterima daripada mangsa. Setiap mangsa menghantar invois untuk kami kumpul dan analisis bagi tindakan susulan.

“Daripada hasil analisis itu, data tuntutan untuk bulan puasa tahun ini berjumlah RM3.5 juta melibatkan lebih 260 jemaah,” katanya yang ditemui bersama sekumpulan bakal jemaah di pekarangan syarikat pengendali umrah itu di sini hari ini.

Jelasnya, jawatankuasa bertindak ditubuhkan pada 15 Mei lalu yang mengumpulkan mangsa di dalam kumpulan aplikasi WhatsApp.

Selain itu, Rusman turut mempersoal kegagalan syarikat berkenaan menerbangkan jemaah sedangkan bayaran penuh pakej ibadah itu telah dilangsai dua bulan sebelum tarikh penerbangan.

Ujarnya, mengikut rekod, seramai 12 mangsa sudah menerima cek tarikh hadapan (post-dated cheque) pembayaran semula daripada syarikat tersebut.

Bagaimanapun, cek berkenaan dipulangkan semula oleh pihak bank kerana syarikat didakwa mengarahkan untuk memberhentikan pembayaran cek tersebut.

Mengulas lanjut, menurut Rusman, beberapa laporan polis telah dibuat di seluruh negara oleh mangsa, termasuk aduan kepada Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) serta Tribunal Tuntutan Pengguna.

“Kalau ikut Peraturan-Peraturan Industri Pelancongan (Perniagaan Pengendalian Pelancongan dan Perniagaan Agensi Pengembaraan) 1992, jika pengendali membatalkan atau mengubah jadual perjalanan, mereka perlu mengembalikan semula wang serta merta berserta pampasan jika perubahan jadual perjalanan itu menyebabkan kerugian atau kekurangan kepada klien.

“Ini kerugian sebab (kami) tidak dapat melaksanakan umrah pada bulan puasa atau beriktikaf 10 malam terakhir Ramadan (di Tanah Suci). Syarikat ada hubungi untuk tawarkan penjadualan semula pakej pada Julai ini, cuma saya tanya adakah Julai ini adalah 10 malam terakhir Ramadan?,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengendali umrah terbabit, Datuk Dr Zulkarnain Endut berkata, pihaknya sedang mengemas kini jadual umrah dan juga membuat pembayaran balik kepada bakal jemaah yang terjejas dengan penerbangan mereka.

“Proses yang dibuat secara berperingkat-peringkat boleh diselesaikan dengan mudah dan cepat jika pihak jemaah yang terlibat turut memberi kerjasama kepada pihak pengurusan syarikat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini yang juga meminta jemaah hanya merujuk kepada syarikat tersebut untuk mendapatkan maklumat sahih.

Pada masa sama, beliau menafikan dakwaan kononnya syarikat itu akan menutup operasinya seperti mana ditular dalam media sosial.

Buletin TV3 sebelum ini pernah melaporkan hasrat lebih 100 bakal jemaah untuk melaksanakan ibadah umrah pada Ramadan kali ini tidak kesampaian, apabila agensi pengendali umrah yang dipilih memutuskan untuk menangguhkan perjalanan mereka ke Tanah Suci pada saat-saat akhir.

Loading...
Terkini