comscore
Tumpuan :
Nasional

Leftenan Muda Emil Syahid meninggal dunia akibat strok haba

Jenazah Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar dibawa ke Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri untuk dikebumikan.

RAWANG: Seorang Pegawai Muda Kor Risik Diraja (KRD) meninggal dunia ketika menerima rawatan selepas mengalami simptom strok haba.

Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar, 24 disahkan meninggal dunia di Hospital Sultan Ismail (HSI), Johor Bahru, semalam.

Allahyarham antara 10 anggota dan pegawai yang mengalami simptom strok haba ketika menjalani latihan di Kem Pusat Latihan Tempur Tentera Darat (PULADA) Kota Tinggi, Johor, kelmarin.

Difahamkan, Allahyarham mengalami pitam dan tidak sedarkan diri ketika menjalani latihan Jalan Laju Kursus Tempur Pegawai Muda Tentera Darat di kem berkenaan.

Allahyarham Leftenan Muda Emil Syahid Iskandar. FOTO Ihsan FB Tentera Darat Malaysia

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bandar Baru Tasik Puteri, di sini hari ini.

Panglima Tentera Darat (PTD), Jeneral Datuk Muhammad Hafizuddeain Jantan turut hadir ketika majlis pengebumian.

Tentera Darat Malaysia (TDM) dalam media sosial rasminya memaklumkan Muhammad Hafizuddeain turut bertemu dengan ibu bapa arwah, Iskandar Mohammed Nordin dan Zalilatulakma Sulaiman untuk memberi kata-kata semangat.

“Panglima Tentera Darat memberikan kata-kata semangat serta menyampaikan salam takziah selain menitipkan supaya keluarga tabah dengan ketentuan Ilahi,” katanya.

Terdahulu, seramai 10 penuntut yang menjalani kursus tempur pegawai muda di lapang sasar PULADA, Kota Tinggi mengalami simptom strok haba dengan tiga daripada mereka diberikan rawatan rapi di hospital.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Perpaduan Johor, Ling Tian Soon dilaporkan berkata, kejadian berlaku ketika peserta kursus berkenaan menjalani latihan di kem berkenaan.

Tiga daripada peserta dirujuk ke Hospital Sultan Ismail (HSI) kerana memerlukan rawatan rapi manakala tujuh peserta dihantar ke Hospital Kota Tinggi (HKT).

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini