comscore
Tumpuan :
Nasional

Serangan balai polis: Aspek keselamatan dipertingkat di lokasi berisiko – Saifuddin

FOTO: Saifuddin Nasution Ismail / Facebook

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Aspek keselamatan akan terus dipertingkatkan pada tahap maksimum di semua lokasi yang berisiko susulan insiden serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram, Johor awal pagi tadi.

Jaminan itu diberikan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail menerusi hantaran di Facebooknya lewat petang ini.

“Saya secara peribadi terkejut dan sedih atas insiden serangan yang berlaku di Balai Polis Ulu Tiram. Saya mewakili seluruh keluarga besar KDN (Kementerian Dalam Negeri) mengutuskan salam takziah kepada dua anggota yang telah terkorban dalam insiden iaitu Konstabel Ahmad Azza Fahmi dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad,” katanya.

FOTO: Saifuddin Nasution Ismail / Facebook

Beliau turut mendoakan kesembuhan segera buat Koperal Mohd Hasif Roslan yang mengalami kecederaan akibat ditembak dalam insiden tersebut.

Dalam hantaran sama, beliau turut memuat naik poster takziah yang memaparkan wajah mangsa yang terkorban.

Mengulas lanjut, Saifuddin yakin pihak polis sudah memulakan siasatan terperinci berhubung insiden terbabit.

“Insya-Allah saya akan keluarkan kenyataan selepas mendapat segala maklumat lengkap berhubung insiden ini,” katanya.

Dalam kejadian 2.45 pagi tadi, tiga disahkan maut iaitu dua anggota polis masing-masing berusia 22 tahun dan suspek yang berusia 21 tahun, manakala seorang lagi anggota pasukan keselamatan cedera.

Allahyarham Ahmad Azza Fahmi dan Allahyarham Muhamad Syafiq adalah anggota ronda cegah jenayah di balai polis tersebut dan baru sahaja berkhidmat dengan pasukan itu lebih kurang dua tahun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini