comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki cedera digigit Pitbull

FOTO: Tular

GEORGE TOWN: Seorang lelaki digigit anjing didakwa berlaku di Changkat Bukit Gambir 2, di sini, minggu lalu.

Kejadian berkenaan tular di Facebook yang memaparkan gambar seorang lelaki cedera dan berlumuran darah diberi rawatan dalam ambulans.

Menerusi hantaran pemilik akaun mendakwa, mangsa diserang seekor anjing ketika berjalan kaki di kawasan perumahan berkenaan.

Difahamkan, selepas kejadian, pemilik anjing dikatakan ke Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) bagi membuat permohonan lesen tetapi pegawai bertugas memintanya menghubungi Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) Pulau Pinang bagi tindakan lanjut.

Sementara itu, Pengarah JPV negeri, Dr Saira Banu Mohamed Rejab berkata, kejadian berlaku Khamis lalu.

Ia selepas menerima maklumat daripada pemilik anjing, JPV ke rumahnya pada hari sama dan menangkap haiwan berkenaan.

“Anjing berkenaan adalah daripada jenis baka kacukan (Pitbull) dan akan dikuarantin dalam tempoh 14 hari selepas ditangkap JPV.

“Sepanjang tempoh ini, anjing akan dipantau dan sekiranya ia menunjukkan tanda penyakit rabies, sampel otak akan diambil bagi ujian penentuan penyakit rabies namun sebaliknya jika tidak, ia akan dikembalikan kepada pemilik.

“Sekiranya ia menjadi kes polis, anjing akan di tempatkan di JPV sehingga kes selesai atau sehingga mendapat arahan tindakan selanjutnya dari pihak mahkamah,” katanya ketika dihubungi Berita Harian hari ini.

Mengulas lanjut, ujarnya anjing berkenaan didapati tidak berlesen dan pemilik sudah diberi kompaun RM250 oleh pihak berkuasa tempatan (PBT).

“Namun tidak dapat dipastikan sama ada mangsa sudah membuat laporan polis mengenai kejadian,” katanya lagi.

9 Februari lalu, media melaporkan seorang wanita diserang dan digigit tiga anjing peliharaan jiran dalam kejadian di Medan Terengganu, di sini.

Wanita berusia 49 tahun yang juga akauntan itu mendakwa diserang haiwan berkenaan ketika melalui sebuah rumah, tidak jauh dari kediamannya.

Akibatnya, wanita berkenaan terpaksa menjalani pembedahan serta merta di sebuah hospital swasta selepas cedera tangan kanan, selain paha kiri dan kanan terkoyak.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini