comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki hilang lebih 60 jam, ditemui maut dalam kereta terbalik di longkang

Anggota berusaha mengeluarkan mayat mangsa yang keretanya ditemui terbalik di dalam longkang di Lebuhraya Bukit Jalil, dekat sini, hari ini. FOTO: Ihsan Bomba

KUALA LUMPUR: Mayat seorang lelaki yang dipercayai sudah meninggal lebih dua hari ditemui dalam sebuah kereta yang dipercayai terbabit nahas dan terbabas ke dalam sebuah longkang di Lebuhraya Bukit Jalil, dekat sini, hari ini.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Puchong digerakkan ke lokasi selepas menerima laporan kejadian itu pada jam 3.01 petang tadi, bagi membantu pihak polis mengeluarkan mayat mangsa.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Wan Razali Wan Ismail, berkata kejadian membabitkan sebuah kereta BMW 528i.

“Kenderaan terbabit dipercayai terbabas dan terbalik ke dalam sebuah longkang.

“Terdapat seorang mangsa lelaki tempatan dalam kenderaan terbabit dan dipercayai sudah meninggal dunia lebih 60 jam,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Wan Razali berkata, anggota bomba yang berada di lokasi kini dalam usaha untuk mengeluarkan mayat mangsa.

Terdahulu, keluarga mangsa dalam satu hantaran Facebook sebelum ini memaklumkan mangsa yang berusia 42 tahun gagal dihubungi sejak awal pagi Sabtu lalu.

Ketua Polis Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shahrulnizam Jaafar mengesahkan pihaknya ada menerima satu laporan orang hilang daripada keluarga mangsa yang dibuat di Balai Polis Sungai Way, Petaling Jaya.

Loading...
Terkini