comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki langgar polis ketika SJR direman empat hari

KEMAMAN: Seorang lelaki direman selama empat hari bermula hari ini hingga Khamis bagi membantu siasatan kejadian langgar anggota polis ketika cuba mengelak sekatan jalan raya, di Bandar Chukai, di sini petang semalam.

Perintah reman itu dibenarkan Majistret Sharifah Smirda Shasha Smir Sharifuddin bagi membolehkan pihak polis melakukan siasatan mengikut seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Suspek, 26 tahun yang bekerja sebagai pembantu kedai menjual peralatan pertukangan itu tiba di perkarangan mahkamah majistret kira-kira jam 8.40 pagi dengan diiringi polis.

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan berkata, dalam kejadian kira-kira pukul 6.20 petang itu, seorang anggota polis berpangkat sarjan cedera selepas dilanggar suspek yang menunggang motosikal jenis Yamaha LC ketika mengadakan sekatan jalan.

Suspek bertindak memecut laju motosikalnya ketika anggota polis itu cuba menahannya untuk pemeriksaan dan menyebabkan anggota polis itu cedera di bahagian tangan.

Tindakan pantas lima anggota polis lain yang turut berada di lokasi kejadian, berjaya menahan suspek.

Hasil pemeriksaan mendapati, motosikal yang ditunggang suspek tamat tarikh cukai jalan dan telah dilakukan pengubahsuaian yang tidak mengikut spesifikasi yang dibenarkan.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini