comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki maut, dalam perjalanan ke tempat kerja 

PETALING JAYA: Seorang pekerja Lapangan Terbang Subang maut selepas motosikal ditunggangnya dipercayai dirempuh dari belakang oleh sebuah kereta yang belum dikenal pasti, di Kilometer (KM) 4.4 Jalan Lapangan Terbang Subang, di sini, pagi tadi.

Menurut Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, dalam kejadian berlaku jam 5.46 pagi itu mangsa disyaki dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Mangsa yang bekerja sebagai pegawai perhubungan pelanggan di lapangan terbang itu, menunggang motosikal jenis Honda EX5 sebelum dipercayai dilanggar dari belakang oleh sebuah kereta belum dikenal pasti nombor pendaftarannya.

“Mangsa lelaki tempatan berusia 37 tahun maut di lokasi kejadian, manakala suspek disyaki terus melarikan diri,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, mayat dibawa ke Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).

Justeru, katanya, saksi kejadian itu diminta tampil ke balai berhampiran untuk membantu siasatan mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Sesiapa yang melihat atau berada di tempat kejadian atau mengenali mangsa atau keluarganya, mohon tampil ke balai berhampiran.

“Orang ramai juga boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Abdul Ghafur Baharudin, melalui talian 017-747 8139,” katanya.

Loading...
Terkini