comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki Myanmar ditemui mati dibunuh, polis tahan 6 suspek

Foto Ihsan PDRM

SUNGAI PETANI: Seorang lelaki warga Myanmar ditemui mati dibunuh dengan kesan tikaman dan pukul di bahagian kepala dalam kejadian di kawasan asrama sebuah kilang di daerah ini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Muda, Asisten Komisioner Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, Pusat Kawalan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kuala Muda menerima maklumat berhubung kejadian pergaduhan membabitkan beberapa lelaki warga Myanmar di kawasan kejadian pada jam 11.53 malam.

Beliau berkata, hasil siasatan di tempat kejadian menemui seorang lelaki warga Myanmar berusia 23 tahun tidak sedarkan diri dalam keadaan berlumuran darah.

“Mangsa ditemui dengan kesan tikaman dan pukul di bahagian kepala.

“Penolong Pegawai Perubatan yang hadir ke tempat kejadian mengesahkan mangsa dipercayai sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Sultanah Bahiyah (HSB) untuk dibedah siasat,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Azharuddin berkata, hasil siasatan juga mendapati seorang lagi lelaki warga Myanmar turut cedera di bahagian pinggang dan kepala kini sedang dirawat di Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH), di sini.

Beliau berkata, polis berjaya menahan seorang lelaki Myanmar berusia 40-an dengan bantuan Unit Anjing Pengesan tidak lama kemudian.

“Susulan daripada itu, polis berjaya menahan lima lagi rakan senegaranya oleh pasukan operasi dari Bahagian Siasatan Jenayah, IPD Kuala Muda dengan bantuan Unit Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kedah.

“Kesemua mereka yang ditahan berusia antara 20-an hingga 40-an,” katanya.

Menurutnya lagi, kesemua tangkapan direman selama tujuh hari untuk siasatan lanjut dan polis sedang mengesan empat lagi suspek yang dipercayai terlibat.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati,” katanya.

Beliau berkata, justeru itu, pihaknya menyeru sesiapa yang mempunyai maklumat berhubung kejadian itu boleh menghubungi Asisten Superintendan Siti Anim Arifin atau balai polis berhampiran atau IPD Kuala Muda di talian 04-4299222.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini