comscore
Tumpuan :
Nasional

Lelaki OKU diselamatkan penduduk kampung dalam kebakaran rumah 

Zamani melihat kemusnahan rumahnya yang terbakar petang tadi di Kampung Pulau Melaka. – FOTO: NSTP

KOTA BHARU: “Saya dan beberapa penduduk kampung terpaksa rosakkan gril pintu untuk mengeluarkan Mohd Zamri yang terperangkap dalam rumah yang terbakar dan dipenuhi asap,” kata Fikri Ibrahim.

Fikri, 40, berkata kejadian berlaku kira-kira jam 4.20 petang tadi selepas dia terlihat api di bahagian dapur rumah jirannya di Kampung Pulau Melaka, di sini, yang dihuni dua beradik termasuk Mohd Zamri Awang,49, yang mengalami kurang upaya (OKU) mental.

Dia berkata, ketika kejadian, Mohd Zamri tinggal berseorangan, manakala abangnya, Zamani, berada di farmasi miliknya di bandar Kota Bharu.

“Saya ternampak api di bahagian dapur rumah mereka dan segera mencapai hos air sebelum cuba memadamkannya, namun tidak berjaya.

“Saya kemudian menghala ke bahagian hadapan rumah mereka dan dengan bantuan beberapa jiran sekitar, kami memecahkan pagar gril rumah yang berkunci untuk mengeluarkan Mohd Zamri yang terperangkap dalam rumah.

“Sebaik pintu dibuka, keadaan dalam rumah dipenuhi asap dan Mohd Zamri berjaya dikeluarkan dengan selamat,” katanya ketika ditemui di sini, petang tadi.

Fikri berkata, melihat api yang semakin marak, mereka turut memecahkan cermin kereta jenis Volkswagen milik Zamani yang diparkir di halaman rumah untuk dialihkan ke tempat selamat, manakala motosikal jenis Demak pula hangus dijilat api.

Sementara itu, Zamani berkata, dia terpaksa meninggalkan adiknya berseorangan ketika keluar bekerja dan makan minum Mohd Zamri lazimnya dihantar seorang lagi adik-beradiknya.

“Saya dihubungi jiran mengenai kebakaran rumah kami dan bersyukur adik berjaya diselamatkan dengan bantuan mereka,” katanya.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Bharu, Zukeri Shafie pula berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.25 petang dan seramai 19 pegawai serta anggota termasuk dari BBP Pengkalan Chepa bergegas ke lokasi.

Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah separa kekal dengan 80 peratus kemusnahan.

“Api dapat dikawal pada jam 4.48 dan padam sepenuhnya jam 6.39 petang, punca serta jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.

Loading...
Terkini