comscore
Tumpuan :
Mahkamah

Pengurus, Pembantu Pengurus Pelajar didakwa kemuka invois palsu

Erlina Zulkifli (kiri) dan Malik Ibrahim (kanan) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bintulu atas pertuduhan kemuka invois palsu berjumlah RM52,514.

KUCHING: Dua individu mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Bintulu atas pertuduhan mengemukakan tuntutan palsu berjumlah RM52,514.

Kedua-dua tertuduh, Malik Ibrahim, 49, dan Erlina Zulkifli, 40, mengaku tidak bersalah atas semua lapan pertuduhan menggunakan dokumen-dokumen sebagai tulen dalam tuntutan kerja pembekalan makanan mentah kepada asrama sebuah sekolah di Bintulu.

Kesemua pengakuan itu dibuat sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Steve Ritikos.

Mengikut pertuduhan, Malik yang bekerja sebagai pengurus syarikat menggunakan lapan invois palsu yang dikeluarkan oleh Erlina, Pembantu Pengurus Pelajar sebagai dokumen sokongan membuat tuntutan berkait pembekalan makanan mentah asrama ke Sekolah Kebangsaan (SK) Kuala Kebulu Sebauh.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengemukakan lapan tuntutan invois terbabit antara tahun 2015 hingga 2016.

Bagaimanapun, pembekalan makanan mentah yang dinyatakan tuntutan invois terbabit tidak pernah dibekalkan kepada sekolah berkenaan seperti yang dinyatakan.

Kedua-dua tertuduh yang tidak diwakili peguam didakwa dibawah Seksyen 471 Kanun Keseksaan dengan 8 pertuduhan berkenaan dibaca bersama Seksyen 34 Akta sama.

Mahkamah menetapkan jaminan sebanyak RM7,000 setiap seorang dengan dua penjamin dan menetapkan 11 Mei depan sebagai tarikh sebutan semula dan pengurusan kes berkenaan.

Sementara itu, Pengarah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Sarawak Mohd Zaki Hassan ketika dihubungi mengesahkan pendakwaan kes berkenaan.

Loading...
Terkini