comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lelaki rentung dalam kebakaran rumah kedai

 

Anggota bomba mengangkat mayat dipercayai lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) yang ditemukan rentung dalam kebakaran di Jalan Sri Bahari, di sini. – FOTO: NSTP

GEORGETOWN: Seorang lelaki ditemukan rentung dalam kebakaran membabitkan rumah kedai dua tingkat di Jalan Seri Bahari, di sini, hari ini.

Mangsa yang dipercayai lelaki berstatus orang kurang upaya (OKU) ditemukan di atas lantai dalam bilik air tingkat bawah rumah berkenaan.

Laporan Berita Harian memetik Ketua Zon 1 Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Negeri Pulau Pinang, Jamil Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.11 pagi sebelum menggerakkan 40 anggota termasuk dari BBP Jalan Perak dan Bagan Jermal.

“Ketika tiba di tempat kejadian, didapati api marak membakar rumah kedai dua tingkat dan maklumat awal diterima, terdapat seorang individu terperangkap di dalam premis itu.

“Anggota berjaya mengawal kebakaran pada jam 4.43 pagi,” katanya di lokasi, hari ini.

Jamil berkata, mayat mangsa kemudian ditemui di bilik air yang terletak di bahagian belakang aras bawah rumah berkenaan.

Katanya, mayat mangsa kemudian diserah kepada polis sebelum dibawa ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi urusan bedah siasat.

“Menerusi maklumat awal daripada orang awam, mangsa dipercayai lelaki OKU namun nama, usia dan butiran lanjut individu itu belum dapat dipastikan,” katanya.

Menurut Jamil, pihaknya dimaklumkan oleh pemilik premis bahawa kedai berkenaan tidak dilengkapi dengan bekalan elektrik.

“Kemungkinan ada sumber lain iaitu penggunaan cahaya persendirian seperti lilin yang dipercayai menjadi punca.

“Premis berkenaan dipercayai digunakan bagi menyimpan barangan lusuh dan kebakaran membabitkan kemusnahan sehingga 70 peratus,” katanya.

Loading...
Terkini