comscore
Tumpuan :
Jenayah

Gara-gara hutang, lelaki parah ditikam peniaga nasi ayam

Foto: NSTP

GEORGETOWN: Seorang lelaki cedera parah di muka, kaki dan perut akibat ditikam dengan senjata dipercayai pisau oleh peniaga nasi ayam dalam pergaduhan di pasar awam Lebuh Cecil di sini, hari ini.

Mangsa yang berusia 26 tahun kemudian dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi diberi rawatan lanjut dan kini berada dalam keadaan stabil.

Polis menjalankan siasatan di lokasi kejadian – Foto: NSTP

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, terdahulu pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian pada 3 petang.

Katanya, sebaik tiba di lokasi, didapati mangsa ditemukan berlumuran darah akibat ditikam dan suspek berusia 51 tahun berjaya ditahan pada 6.30 petang di kawasan Lebuh Macullum.

Foto: NSTP

“Hasil siasatan awal mendapati punca kejadian adalah disebabkan masalah berkaitan hutang,” katanya menerusi kenyataan di sini, hari ini.

Soffian berkata, suspek mempunyai satu rekod lampau berkaitan dadah dan permohonan reman akan dibuat ke atas suspek bagi siasatan lanjut.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 326 Kanun Keseksaan,” katanya yang turut meminta orang ramai menghubungi pegawai penyiasat di talian 04-2181831 atau tampil ke balai polis berhampiran bagi jika mempunyai maklumat berkaitan kes itu bagi membantu siasatan.

Loading...
Terkini