comscore
Tumpuan :
Nasional

Lori kargo rempuh belakang lori sawit, kelindan maut

Kelindan lori kargo maut dalam kemalangan di simpang Spaoh, Betong tengah malam tadi. – FOTO: Ihsan JBPM

KUCHING: Kelindan maut manakala pemandu lori kargo cedera ringan apabila kenderaan mereka merempuh belakang lori membawa muatan kelapa sawit di simpang Spaoh, Betong, malam tadi.

Penolong Pengarah Operasi, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, Henderi Ardimansyah berkata, akibat perlanggaran itu, kelindan terbabit, Renang Brain, 24, tersepit di tempat duduk.

Beliau berkata, pemandu lori kargo berkenaan, Jambul Entili, 47, hanya cedera ringan di kaki kiri manakala pemandu lori sawit, Stanley Sumping, 35, tidak mengalami kecederaan.

“Bomba menerima panggilan pada jam 11.44 malam dan sepasukan lapan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong diarah ke lokasi yang terletak 23 kilometer dari balai.

“Jentera bomba sampai di lokasi pada jam 12.16 tengah malam dan anggota segera mengeluarkan kelindan yang tersepit,” katanya.

Beliau berkata, kakitangan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) yang turut berada di lokasi mengesahkan mangsa sudah meninggal dunia.

“Mayat mangsa kemudian diserahkan kepada pihak polis sebelum dihantar ke Hopital Betong untuk tindakan lanjut,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini