comscore
Tumpuan :
Tragedi

Pemandu, kelindan lori maut langgar treler

Oleh Akmaliah Razak

GUA MUSANG: Seorang pemandu lori dan kelindan maut dalam kemalangan di Kilometer 43.5, Jalan Gua Musang – Kuala Krai, berdekatan Felda Chiku 3, Gua Musang, awal pagi tadi.

Kedua-dua mangsa, Wan Muhammad Izzat Wan Jusoh, 25 dan Nik Mohamad Nasrullah Mohd Nizam, 26, meninggal dunia di lokasi kejadian setelah mengalami kecederaan parah di bahagian kepala kerana tersepit di kepala lori.

Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Sik Choon Foo berkata, kejadian yang berlaku kira-kira jam 6.45 pagi itu melibatkan sebuah lori dan sebuah treler.

Katanya, hasil siasatan mendapati lori muatan cat yang dipandu mangsa dari arah Gua Musang menuju ke Kota Bharu telah melanggar bahagian belakang sebuah treler muatan barangan besi yang berhenti di tengah-tengah jalan kerana mengalami kerosakan pada kotak gear.

“Akibat rempuhan itu, pemandu dan kelindan lori tersebut tersepit dan disahkan maut di lokasi kejadian manakala pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.

“Mayat mangsa dibawa ke Hospital Gua Musang untuk pengendalian bedah siasat,” katanya.

Dalam pada itu, Choon Foo mengingatkan kepada pemandu atau pemilik lori agar tidak meninggalkan kenderaan tanpa jagaan seperti mana mengikut Kaedah 53 dibawah LN 166/1959.

“Selain itu, kenderaan yang rosak juga tidak boleh ditinggalkan tanpa lampu di atas jalan yang gelap pada waktu malam yang bertentangan dengan Kaedah 42 dibawah LN 165/1959.

“Tindakan yang perlu diambil perhatian ialah meletakkan segi tiga keselamatan pada jarak tidak kurang dari 45 meter dari belakang kenderaan.

“Sekiranya pemandu gagal mematuhi peraturan-peraturan diatas boleh dikenakan hukuman denda maksima RM2,000 bagi setiap kesalahan,” katanya.

Kes disiasat dibawah Sek. 41(1) APJ 1987 kerana memandu secara melulu sehingga menyebabkan kemalangan maut.

Loading...
Terkini