comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Lori terbabas punca nahas maut 6 sekeluarga 

SEGAMAT: Nahas yang meragut nyawa enam sekeluarga di Kilometer lima Jalan Segamat – Kuantan, petang semalam berpunca daripada sebuah lori muatan pasir yang terbabas sehingga memasuki laluan bertentangan.

Ketua Polis Daerah Segamat, Superitendan Ahmad Zamry Marinsah ketika dihubungi, berkata siasatan awal mendapati dalam kejadian 6.37 petang itu, sebuah kereta Honda HRV dari arah Kuantan menuju Segamat  dilanggar lori pasir  terbabit pada bahagian belakang.

Kejadian berlaku ketika pemandu kereta Honda HRV memperlahan keretanya kerana terdapat kerja pembaikan jalan.

Lori terbabit turut melanggar sebuah kereta Proton Wira sebelum memasuki laluan bertentangan lalu merempuh kereta Perodua Alza yang dinaiki enam mangsa.

Artikel berkaitan: 6 termasuk 5 sekeluarga maut dalam nahas 3 kenderaan

Polis mengesahkan mangsa yang terbunuh  ialah pemandu Perodua Alza, Amir Ruddin Ismail, 46 tahun, isterinya, Norahimah Noor Muhamad, 43 tahun dan empat anak mereka iaitu Fatimatulzahrah, 17,  Seri Khadijah Aqilah, 13, Rufaidatul Ansyariyah, 10, dan Muhammad Assyakrawi, 5.

Seorang lagi anak mangsa, Abdullah Amir Ruddin, 15 tahun dan pemandu lori, cedera parah dan dirawat di Hospital Segamat.

Kemalangan disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Polis meminta saksi kejadian tampil membantu siasatan.

Sementara itu difahamkan jenazah Imam Amir Ruddin, isteri dan empat anaknya  akan dibawa pulang ke Muar.

Kesemua jenazah dijangka dikebumikan jam 3 petang ini di Tanah Perkuburan  Islam Masjid Ubudiah, Parit Limbong.

Loading...
Terkini