comscore
Tumpuan :
Nasional

LRT laluan Ampang-Sri Petaling kembali normal Februari 2024

KUALA LUMPUR: Fasa Dua kerja pembaikan menyeluruh struktur jejambat dan landasan berhampiran Stesen LRT Bandaraya dijangka siap dan operasi normal akan disambung semula pada 29 Februari 2024.

Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan hari ini, Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) berkata, perancangan asal bagi menyiapkan kerja pembaikan serta pengoperasian normal laluan berkenaan adalah pada pertengahan bulan depan.

Bagaimanapun, penambahan masa tersebut adalah amat perlu kerana selain daripada kerosakan asal pada jejambat 163, beberapa kerosakan lain turut dikesan pada struktur jejambat yang berhampiran, iaitu jejambat 164 dan 165 yang memerlukan pembaikan yang menyeluruh.

“Selepas mendapat pandangan dan nasihat daripada jurutera perunding, kerja tambahan perlu dilakukan pada struktur jejambat-jejambat tersebut bagi memastikan ianya selamat, mengikut spesifikasi dan dapat memenuhi kriteria pengoperasian normal.

“Kerja pembaikan ini juga perlu membabitkan nasihat, penilaian serta kelulusan Jabatan Pengairan Dan Saliran (JPS) Wilayah Persekutuan kerana pemasangan struktur sokongan harus dipasang di dalam Sungai Klang bersebelahan jejambat LRT yang terbabit.

“Pertimbangan keselamatan adalah keutamaan semua pihak yang terlibat dalam menjalankan kerja yang berisiko tinggi ini.

Menurut kenyataan itu lagi, kerja tambahan itu menyebabkan jangkamasa untuk kerja pemulihan dilanjutkan selama tiga bulan.

Rapid Rail turut memohon maaf di atas kesulitan yang dialami oleh pengguna dan keputusan yang diambil bagi melanjutkan masa kerja pemulihan adalah untuk memastikan semua kerosakan dapat dikenal pasti dan dibaiki demi menjamin keselamatan operasi dan pengguna pengangkutan awam.

Loading...
Terkini