comscore
Tumpuan :
Nasional

LRT laluan Kelana Jaya ditamatkan jam 11 malam tadi

Stesen LRT KL Sentral ditutup sementara susulan masalah teknikal perkhidmatan. – Foto: Rapid KL/Facebook

KUALA LUMPUR: Perkhidmatan Transit Aliran Ringan (LRT) laluan Kelana Jaya masih mengalami gangguan, menyebabkan perkhidmatan antara Stesen LRT Kelana Jaya dan Stesen Ampang Park diberhentikan.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) selaku pengendali perkhidmatan LRT, Transit Aliran Massa (MRT) dan Monorel, memaklumkan ia dibuat atas faktor keselamatan selepas berlalu gangguan pada sistem Kawalan Tren Automatik (ATC) Laluan Kelana Jaya, yang mula dikesan jam 3.03 petang tadi.

“Setakat jam 8.30 malam ini, perkhidmatan tren perantara dari Stesen Gombak ke Stesen Damai serta dari Stesen Ara Damansara ke Stesen Putra Heights masih berjalan.

“Operasi tren dari Stesen Putra Heights berpatah balik di Stesen Ara Damansara, manakala operasi tren dari Stesen Gombak berpatah balik di Stesen Damai.

“Perkhidmatan tren akan ditamatkan pada jam 11 malam ini.

“Pengumuman mengenai gangguan perkhidmatan dilakukan di stesen dan dalam tren bagi memaklumkan penumpang mengenai status perkhidmatan terkini, selain makluman melalui media sosial Rapid KL untuk memudahkan penumpang merancang perjalanan mereka menggunakan perkhidmatan alternatif,” katanya dalam satu kenyataan, malam ini.

Petang tadi, Rapid Rail memaklumkan, perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya mengalami masalah sistem pemanduan automatik berhampiran Stesen KLCC, yang menyebabkan orang ramai terkandas di stesen masing-masing.

Syarikat itu memaklumkan, masalah yang bermula pada 8.39 malam tadi menyebabkan perkhidmatan tergendala di antara Stesen Kelana Jaya dengan Stesen KLCC.

Pada masa sama, Rapid Rail berkata, perkhidmatan bas perantara percuma antara Stesen Kelana Jaya hingga Stesen Ampang Park disediakan bagi memudahkan pergerakan penumpang yang terkesan akibat gangguan perkhidmatan itu, yang dilanjutkan sehingga jam 12 tengah malam.

Katanya, pasukan kejuruteraan dan teknikal Rapid Rail, dibantu pihak Thales Group di Kanada, selaku pengilang peralatan asal (OEM) sedang giat menjalankan siasatan bagi mengenal pasti punca sebenar gangguan.

“Setakat ini, apa yang diketahui berlaku gangguan kepada komponen elektronik sistem ATC, yang menyebabkan kehilangan isyarat antara pusat kawalan dan tren.

“Ini menyebabkan tren tidak dapat beroperasi secara automatik antara Stesen Kelana Jaya dan Stesen Ampang Park,” katanya.

Rapid Rail akan memaklumkan status perkhidmatan LRT Laluan Kelana Jaya dari semasa ke semasa kepada orang awam, menerusi saluran media sosial dan media massa.

“Segala kesulitan yang dialami penumpang disebabkan gangguan ini adalah amat dikesali dan kami memohon maaf atas gangguan perjalanan yang terpaksa ditempuhi semua pengguna perkhidmatan Rapid KL,” katanya.

Satu taklimat dan sidang media mengenai perkembangan terkini dijadualkan pagi esok. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini