comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] MAA gesa suspek seksa, bunuh kucing didakwa bawah Akta Kebajikan Haiwan 2015

Oleh Amirulhakim Lokman

KUALA LUMPUR :  Persatuan Haiwan Malaysia, MAA menggesa supaya suspek dalam kes penemuan puluhan bangkai kucing di Kondominium Bayu Tasik, Bandar Sri Permaisuri, Cheras, di sini, 11 Mac lalu didakwa mengikut Akta Kebajikan Haiwan 2015.

 

Ini kerana akta itu mengenakan hukuman lebih berat  yang membawa hukuman maksimum penjara tiga tahun atau denda maksimum RM100,000 atau kedua-duanya berbanding seksyen 428 kanun keseksaan yang dakwanya mengenakan hukuman lebih ringan.

Presiden MAA, Arie Dwi Andika berkata,  pihaknya tidak mahu masyarakat menganggap isu jenayah terhadap haiwan sebagai perkara yang remeh.

Justeru,  tindakan undang-undang yang tegas perlu demi keadilan kepada haiwan berkenaan.

Pemilik unit kondominium yang disewa suspek menerima aduan daripada jiran-jiran yang tidak tahan dengan bau busuk dipercayai datang dari rumah terbabit

“Kita mahukan tindakan bukan hanya pandangan, pendapat dan sebagainya. Maknanya apabila berlaku kes serius kita berharap ubah cara penyiasatan..bererti perlu segera untuk ke lokasi tapi saya belum ada penyelesaiannya.

”Kaedah perundangan haiwan ini perlu ada penambahbaikan yang signifikan juga perlu lebih tegas dan serius jangan anggap isu jenayah haiwan ni satu perkara yang remeh” katanya.

Arie seterusnya berharap undang-undang berkaitan haiwan  diperkasakan dan penguatkuasaan secara maksimum dapat memberi impak besar kepada negara.

Beliau yang juga Penganalisis Jenayah Haiwan menjelaskan, taraf pendidikan dan peningkatan sosioekonomi di negara ini sepatutnya menjadikan masyarakat lebih memahami hak haiwan serta menghormati sesama makhluk selagi ia tidak mengancam nyawa manusia.

Penemuan puluhan rangka, organ dan daging kisar haiwan disyaki kucing di sebuah kondominium disewa seorang lelaki berusia 31 tahun di Bandar Sri Permaisuri, Kuala Lumpur, pada 11 mac lalu menggemparkan masyarakat.

Ia didedahkan MAA menerusi Facebooknya semalam.

Loading...
Terkini