comscore
Tumpuan :
Nasional

Mahkamah benarkan semakan kehakiman Swatch cabar rampas jam dikaitkan LGBT

Jam tangan Swatch siri ‘Pride Collection’.

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh syarikat jam tangan, Swatch terhadap kerajaan bagi mencabar tindakan merampas 172 jam tangan termasuk siri ‘Pride Collection’ dikaitkan dengan komuniti lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT).

Hakim Datuk Amarjeet Singh membuat keputusan berkenaan selepas peguam bela syarikat itu, Nizam Bashir memaklumkan Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak membantah permohonan itu.

“Mahkamah membenarkan permohonan berkenaan,” kata hakim ketika prosiding yang turut dihadiri Peguam Kanan Persekutuan mewakili AGC, Farah Shuhada Ramli.

Peguambela, Nizam Bashir mewakili Swatch Malaysia hadir di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini. – Foto: NSTP

Swatch memfailkan permohonan itu pada 24 Jun lalu dengan menamakan Ketua Setiausaha Kementerian Dalam Negeri (KDN), Setiausaha Bahagian Penguatkuasaan KDN, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama hingga keempat.

Dalam permohonannya, Swatch mendakwa penyitaan itu tidak sah kerana jam tangan bukan sebuah ‘penerbitan’ yang boleh dilarang dalam Akta Mesin Akta Mesin Cetak dan Penerbitan (PPPA) 1984.

Menurutnya, berdasarkan akta itu, istilah penerbitan merujuk kepada atau untuk dokumen, surat khabar, buku atau sebarang bahan dalam bentuk bercetak.

Pemohon juga mendakwa tindakan responden dilakukan atas motif politik yang tidak wajar, mengambil kira pilihan raya dewan undangan negeri di beberapa negeri.

Artikel berkaitan: Swatch failkan semakan kehakiman cabar tindakan rampas jam tangan dikaitkan LGBT

Ia mendakwa menteri sedang mencari pengiktirafan Islam bagi tujuan politik.

Pemohon mendakwa jam tangan yang disita tidak mempromosikan apa-apa gejala seksual, namun hanyalah ekspresi menyeronokkan mengenai keamanan dan cinta.

Katanya, jam tangan dari reka bentuk 2023 itu adalah satu daripada enam warna pelangi dan hanya kelihatan di sebahagian kecil gelung jam berkenaan.

Pemohon menuntut satu perintah certiorari dan mandamus untuk membatalkan notis penyitaan dan mengembalikan jam tangan berkenaan serta ganti rugi yang dianggarkan RM64,795.

Pada 13 dan 14 Mei lalu, KDN menyerbu 11 butik jam tangan jenama Swatch di beberapa negeri dan merampas koleksi bertemakan pelangi yang sering dikaitkan dengan LGBT.

Serbuan selama dua hari diadakan di butik Swatch yang terletak di pusat beli-belah Pavilion Kuala Lumpur, One Utama, Sunway Pyramid, Setia City Mall, Mid Valley Megamall, Southkey, Sunway Putra Mall, Sogo KL, Queensbay, Fahrenheit 88 dan Suria Sabah.

Lima lagi butik diberi amaran iaitu di Kuala Terengganu City Centre, AEON Kota Bharu, Aman Central Kedah, City Square dan Viva City Kuching.

Loading...
Terkini