comscore
Tumpuan :
Nasional

Tiada buku promosi LGBT dalam pasaran tempatan – JAKIM

Foto tangkap layar Facebook JAKIM

PUTRAJAYA: Hasil pemeriksaan yang dijalankan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) terhadap video tular yang dipaparkan oleh Cordova Media berkaitan beberapa buku yang mendorong anak-anak agar terpengaruh dengan LGBT, didapati diambil dari luar negara iaitu Ireland.

Ketua Pengarahnya, Datuk Hakimah Mohd Yusoff berkata, tiada buku seperti yang dipaparkan dalam video berkenaan dipasarkan di kedai buku tempatan.

Namun JAKIM mengambil serius sebarang usaha untuk mempromosinya dalam kalangan masyarakat di negara ini, khususnya umat Islam.

Katanya, JAKIM sentiasa bekerjasama dengan Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam memantau sebarang terbitan bahan bercetak yang mempromosi LGBT.

“Buku-buku berkenaan boleh dianggap melanggar Seksyen 7(1) Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) kerana terdapat kandungan yang mungkin memudaratkan ketenteraman awam, moral dan kepentingan awam,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Hakimah berkata, kandungan penerbitan buku yang cuba mempromosikan budaya homoseksualadalah melanggar sensitiviti agama, undang-undang dan budaya di negara ini.

Katanya, justeru JAKIM menasihatkan orang ramai khususnya ibu bapa agar sentiasa memantau anak-anak serta tidak membeli bahan-bahan bacaan yang mempunyai unsur-unsur negatif dan bercanggah dengan ajaran Islam.

“Pemantauan dan pencegahan yang konsisten adalah amat penting bagi mengelakkan anak-anak terjebak dengan aktiviti tidak bermoral dan boleh merosakkan masa depan mereka,” katanya.

Loading...
Terkini