comscore
Tumpuan :
Nasional

MAINS sedia beri kerjasama siasatan dakwaan seleweng wang zakat

SEREMBAN: Majlis Agama Islam Negeri Sembilan (MAINS) mengalu-alukan pihak berkuasa terutama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk membuka semula kertas siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat di Negeri Sembilan.

Pengerusi MAINS, Datuk Seri Dr Abdul Aziz Sheikh Abdul Kadir, berkata pihaknya komited untuk memberi kerjasama penuh melalui siasatan yang akan dijalankan oleh agensi penguat kuasa berkenaan.

“Kami mengalu-alukan SPRM dan pihak polis untuk membuka semula kertas siasatan mengenai dakwaan penyelewengan wang zakat.

“Isu ini telah disiasat oleh pihak berkuasa bermula tahun 2019 lagi. MAINS berharap siasatan dapat dijalankan secara terperinci, tuntas dan tidak akan berkompromi terhadap sebarang ketidakpatuhan pengurusan wang zakat.

“Laporan hasil siasatan tersebut juga amat penting bagi membersihkan imej MAINS dan mengembalikan keyakinan masyarakat Islam terhadap tatakelola pengurusan zakat di Negeri Sembilan,” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Semalam, Pengarah Kanan Siasatan SPRM, Datuk Seri Hishamuddin Hashim mengesahkan kes berkenaan dikaji semula untuk melihat keterangan yang ada.

Hisahmuddin dilaporkan berkata, siasatan berhubung dakwaan penyelewengan wang zakat MAINS itu sudah dibuka dan disiasat pada tahun 2019 dengan fokus kepada isu rasuah dan salah guna kuasa.

“Kertas siasatan kini dirujuk semula kepada Timbalan Pendakwa Raya dan arahan dikeluarkan untuk dijalankan siasatan lanjut terhadap isu berbangkit,” katanya.

Media pada 8 Februari lalu melaporkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menyerahkan sepenuhnya kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan berhubung dakwaan terbabit.

Loading...
Terkini