comscore
Tumpuan :
Nasional

Majlis Peguam fail semakan pengampunan Najib

Bangunan Majlis Peguam. – FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam dijangka menfailkan semakan kehakiman terhadap pengampunan Datuk Seri Najib Razak.

Ia selepas usul mencabar pengampunan bekas Perdana Menteri itu diluluskan dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) Majlis Peguam, hari ini.

Usul mencabar kesahihan pengampunan Najib itu menerima sejumlah 238 ahli yang menyokong manakala hanya seorang ahli yang menentang cadangan itu.

Presiden Majlis Peguam yang baharu dilantik pada AGM itu, Ezri Abdul Wahab berkata semakan pengampunan itu akan dilaksanakan dalam tempoh dua minggu lagi.

“Majoriti ahli Majlis Peguam menyokong usul yang dibendangkan hari ini dan ia menjadi tanggungjawab kami untuk memfailkan semakan terhadap langkah pengampunan itu,” katanya dalam sidang media, di sini hari ini.

ekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak ketika tiba di mahkamah bagi sambung bicara kes penyelewangan dana RM2.3 bilion milik 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam (15 Mac 2024).

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, beliau berkata mereka turut bersetuju untuk membangkitkan bagaimana proses pengampunan itu berlangsung, yang dilihat dilaksanakan tanpa tindakan yang tepat.

Semalam media melaporkan bekas presiden Majlis Peguam, Zainur Zakaria mengemukakan usul meminta badan itu supaya mempertimbangkan keputusan Lembaga Pengampunan dalam kes Najib.

Usul yang diterbitkan di laman web Majlis Peguam itu menegaskan permohonan maaf Najib tidak sepatutnya diproses dan diputuskan kerana beliau hanya menjalani satu setengah tahun daripada hukuman penjara 12 tahunnya dan tidak membayar denda RM210 juta.

Ia juga menyatakan Majlis Peguam menganggap Lembaga Pengampunan bertindak ‘ultra vires’ atau melebihi Artikel 42 Perlembagaan Persekutuan apabila memutuskan untuk mengurangkan tempoh penjara ke atas Najib kepada separuh dan denda pula menjadi hanya RM50 juta.

Pada 2 Februari lalu, Najib dilapor diberikan pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun yang sedang dijalaninya sejak 2022, sekali gus menyaksikan bekas Perdana Menteri itu bakal dibebaskan pada 23 Ogos 2028.

Selain tarikh pembebasan awal itu, Urusetia Lembaga Pengampunan Wilayah-Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya, Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang, Jabatan Perdana Menteri turut mengumumkan denda perlu dibayar oleh Najib dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Pada 28 Julai 2020, Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali, mendapati Najib bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, menyalahgunakan kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd.

Sehubungan itu, Mohd Nazlan menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta ke atas Najib, dan keputusan berkenaan dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021 serta panel lima Hakim Mahkamah Persekutuan yang dipengerusikan Ketua Hakim Negara, Tun Tengku Maimun Tuan Mat, pada 23 Ogos 2022.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini