comscore
Tumpuan :
Nasional

Majlis Peguam diingatkan supaya jangan biadab

Peguam, Dr Shamsher Singh Thind. Foto FB Dr Shamsher Singh Thind

GEORGE TOWN: Majlis Peguam diingatkan supaya tidak menjadi ‘kurang ajar’ susulan ketetapan badan itu yang mahu memfailkan semakan kehakiman susulan remit hukuman diberikan kepada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Peguam Dr Shamsher Singh Thind berkata ini kerana tugas Lembaga Pengampunan hanya memberi nasihat kepada Yang di-Pertuan Agong, bukannya membuat keputusan bagi pihak baginda.

“Anda (Majlis Peguam) sebenarnya mempersoal Yang di-Pertuan Agong, bukannya Lembaga Pengampunan,” katanya di sini, hari ini.

Beliau mengulas ketetapan Majlis Peguam yang mahu memfailkan semakan kehakiman terhadap remit hukuman diberikan kepada Najib dengan usul itu disokong 238 ahli badan itu pada pada mesyuarat agung tahunannya (AGM) semalam.

Presiden Majlis Peguam, Ezri Abdul Wahab dilaporkan berkata menjadi tanggungjawab badan berkenaan untuk memfailkan semakan terhadap langkah pengampunan itu dalam menjaga kedaulatan undang-undang negara.

Pada 2 Februari lalu, Najib diberi pengurangan 50 peratus bagi hukuman penjara 12 tahun sedang dijalaninya sejak 2022, manakala denda perlu dibayar dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Najib pada 28 Julai 2020, disabitkan bersalah atas tujuh pertuduhan pecah amanah, salah guna kedudukan dan pengubahan wang haram dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd pada perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.

Hakim Mahkamah Tinggi ketika itu, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta dan keputusan terbabit dikekalkan Mahkamah Rayuan pada 8 Disember 2021, kemudiannya Mahkamah Persekutuan pada 23 Ogos 2022.

Shamsher berkata pihaknya tidak pasti sama ada 238 peguam terbabit sudah merujuk keputusan Mahkamah Rayuan bagi kes Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Ahli Lembaga Pembebasan Wilayah Persekutuan v Mohd Khairul Azam Abdul Aziz (2023) 2 CLJ 236.

Keputusan itu, katanya, menjelaskan ia adalah kuasa prerogatif Yang di-Pertuan Agong berdasarkan Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan dengan kuasa itu tidak terhad hanya kepada hukuman tetapi juga atas sabitan dan tidak boleh dipersoalkan di mahkamah.

Mahkamah Rayuan ketika membatalkan saman Mohd Khairul Azam Abdul Aziz, membenarkan rayuan Anwar dan Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan mereka untuk membatalkan prosiding itu.

Panel tiga Hakim Mahkamah Rayuan dipengerusikan Datuk Has Zanah Mehat, memutuskan dakwaan Mohd Khairul Azam terhadap perayu jelas tidak kukuh kerana beliau tidak menyatakan sebarang alasan tindakan terhadap mereka.

Has Zanah dalam penghakimannya berkata, Mohd Khairul Azam tidak berhak mempersoal pengampunan atau nasihat diberikan Lembaga Pengampunan kepada Yang-di Pertuan Agong dalam memberi pengampunan.

“Kuasa pengampunan adalah prerogatif Yang di-Pertuan Agong dan Majlis Peguam tidak perlu merendahkan martabat mereka,” kata Shamsher yang juga bekas ahli DAP.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini