comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia hargai Mahkamah Madrid kekalkan sabitan terhadap Stampa

KUALA LUMPUR: Malaysia menyambut baik keputusan Mahkamah Rayuan Madrid semalam yang mengekalkan sabitan dan hukuman penjara enam bulan terhadap penimbang tara Sepanyol yang terbabit dalam tuntutan kumpulan Sulu, Gonzalo Stampa atas kesalahan menghina mahkamah

Mahkamah Rayuan menolak rayuan Stampa, sekali gus mengekalkan keputusan Mahkamah Tinggi pada 22 Disember tahun lalu, yang turut mengenakan larangan ke atas Stampa untuk menjalankan tugas sebagai penimbang tara selama setahun.

Mahkamah Rayuan Madrid dalam penghakimannya mengesahkan keputusan Mahkamah Tinggi bahawa Stampa secara sedar dan sengaja mengingkari ketetapan dan perintah jelas yang menyebabkan pelantikannya sebagai penimbang tara terbatal.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, berkata Malaysia mengalu-alukan keputusan penting itu yang disifatkan sebagai kemenangan penting bagi kedaulatan undang-undang yang akan membantu memelihara kesucian institusi timbang tara antarabangsa sebagai bentuk alternatif penyelesaian pertikaian.

Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata, ia mengesahkan sekali lagi, bahawa penipuan Sulu dimungkinkan oleh tingkah laku jenayah seorang penimbang tara yang juga penyangak.

“Malaysia juga yakin bahawa kemenangan ini akan menjadi penghalang selanjutnya kepada tindakan buruk yang dilakukan oleh pelaku penipuan Sulu.

Stampa, yang secara kontroversi mengarahkan Malaysia membayar USD14.92 bilion (RM69.88 bilion) kepada pihak yang mengaku waris Sultan Sulu terakhir, didakwa pada Disember atas tuduhan menghina mahkamah dan tiada kelayakan amalan profesional kerana mengingkari keputusan mahkamah Madrid untuk membatalkan kes tuntutan Sulu.

Pertuduhan dibawa oleh pejabat pendakwa raya Sepanyol dengan kerajaan Malaysia sebagai pengadu.

Walaupun Stampa sebelum ini telah dilantik sebagai penimbang tara dalam kes itu, Mahkamah Tinggi Keadilan di Madrid membatalkan pelantikan kehakimannya pada Jun 2021.

Bagaimanapun, beliau terus mendengar kes itu di Paris dan pada Februari 2022 mengarahkan Putrajaya membayar kepada pihak yang mengaku waris Sultan Sulu terakhir itu melalui mahkamah timbang tara Perancis.

Stampa memutuskan bahawa Malaysia telah melanggar perjanjian 1878 antara kerajaan Sulu lama di Filipina dan wakil Syarikat Borneo Utara British yang pernah mentadbir Sabah sekarang.

Malaysia kemudiannya mencabar perintah timbang tara di Perancis dan Sepanyol.

Mahkamah Perancis memberikan penangguhan terhadap penganugerahan itu, sementara menunggu keputusan tuntutan Malaysia bahawa perintah itu melanggar kedaulatannya ke atas Sabah.

Ini membawa kepada keputusan mahkamah jenayah Madrid pada Disember 2023 yang mendapatinya bersalah kerana menghina mahkamah.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini