comscore
Tumpuan :
Nasional

Terus perkukuh tadbir urus tangani isu tuntutan Sulu – GRS

Oleh: Safwan Sawi

KOTA KINABALU: Usaha menangani isu tuntutan oleh kumpulan yang mendakwa waris Sultan Sulu perlu terus diperkukuh dan perlu turut membabitkan siasatan lanjut ke atas mana-mana pihak yang telah mencetuskan ruang untuk pihak penuntut memanipulasi mekanisme mahupun proses perundangan antarabangsa.

Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam satu kenyataan berkata ia termasuk siasatan lanjut dan terperinci terhadap tindakan mantan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas mengutuskan surat kepada peguam pihak penuntut bertarikh 19 September 2019 tanpa mendapat persetujuan Mesyuarat Jemaah Menteri sebagaimana jawapan kerajaan di Dewan Rakyat 28 Mac lalu.

Kenyataan itu dikeluarkan secara bersama oleh enam ahli parlimen GRS iaitu Datuk Seri Jeffrey G. Kitingan (Keningau), Datuk Armizan Mohd Ali (Papar), Khairul Firdaus Akbar Khan (Batu Sapi), Datuk Jonathan Yasin (Ranau), Datuk Matbali Musah (Sipitang) dan Lo Su Fui (Tawau).

Gesaan itu jelas mereka sejajar dengan pendirian GRS yang sejak dari awal mempertikaikan tindakan mantan Peguam Negara itu dalam menguruskan isu berkaitan tuntutan tidak berasas terbabit.

“Pendirian ini dizahirkan dengan tindakan 9 pemimpin GRS yang telah memfailkan saman di Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu pada 16 Ogos 2022 terhadap mantan Peguam Negara tersebut,” kata GRS lagi.

Ahli-ahli parlimen GRS turut menyeru kerajaan persekutuan untuk memperkukuhkan tadbir urus memastikan tidak ada mana-mana pihak dalam kerajaan pada masa akan datang yang bertindak secara unilateral dalam hal-hal sensitif yang melibatkan integriti wilayah dan kedaulatan tanah air khususnya Negeri Sabah.

Ia termasuk keperluan untuk melaksanakan perbincangan dengan Kerajaan Negeri Sabah.

GRS turut menyokong ketegasan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam yang menyatakan bahawa kerajaan tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan jenayah menurut undang-undang terhadap mana-mana pihak termasuk warganegara Malaysia yang membelakangkan kepentingan dan keselamatan negara dengan memberikan sebarang sokongan, bantuan secara langsung mahupun tidak langsung dan bersekongkol dengan pihak yang membuat tuntutan.

GRS turut menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri Sabah atas strategi dan pendekatan berkesan yang telah diambil dalam menangani isu tuntutan daripada lapan warga Filipina yang mendakwa kononnya sebagai waris Sultan Sulu (pihak penuntut) yang telah memfailkan tuntutan di empat buah negara bermula dari tahun 2019.

Datuk Seri Anwar dalam sesi penerangan mengenai status terkini tuntutan lapan warga Filipina yang mendakwa waris Sultan Sulu di Dewan Rakyat semalam menegaskan kerajaan Filipina tidak terbabit dengan tuntutan kumpulan Sulu terhadap Sabah dan sehingga kini, tiada bukti penglibatan kerajaan Filipina berkenaan perkara itu.

Terdahulu Mahkamah Rayuan Perancis baru-baru ini mengekalkan keputusan menolak penguatkuasaan ‘Partial Award’ kepada kumpulan mendakwa sebagai waris Sulu yang sebelum itu diputuskan penimbang tara, Dr. Gonzalo Stampa pada 2020.

Keputusan itu memberikan kemenangan muktamad kepada Malaysia untuk menegakkan undang-undang, sekali gus menolak tuntutan tidak masuk akal dikemukakan kumpulan terbabit.

Loading...
Terkini