comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia mahu resolusi gencatan senjata di Gaza dikuatkuasakan serta merta – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia yang tegas menyokong resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk melaksanakan gencatan senjata di Gaza, mahu ia dikuatkuasakan serta merta.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, ia mengambil kira kemuliaan Ramadan, selain mahu penderitaan yang dihadapi penduduk di Gaza sejak perang tercetus pada Oktober tahun lalu dihentikan segera.

“Demi kemuliaan Ramadan, dalam semangat pada bulan ini yang bertujuan membangkitkan renungan, pembaharuan iman kita dan kembali kepada keluarga, hari ini resolusi yang mengikat secara sah mesti dikuatkuasakan sekarang.

“Kita mesti segera melegakan penduduk Gaza daripada kesakitan yang amat sangat dan penderitaan yang kini mereka alami selama hampir enam bulan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Datuk Seri Anwar juga menegaskan, Amerika Syarikat (AS) perlu bertindak terhadap sekutunya untuk menghormati kehendak masyarakat antarabangsa, dengan mematuhi gencatan senjata dan membenarkan kemasukan segera dan besar-besaran bantuan kecemasan.

“Kami memuji keberanian dan komitmen terhadap kemanusiaan oleh 10 wakil yang dipilih ahli majlis, Algeria, Guyana, Ecuador, Jepun, Malta, Mozambique, Sierra Leone, Slovenia, Korea Selatan dan Switzerland.

“Malaysia kekal komited kepada perjuangan Palestin dan akan meneruskan usaha untuk penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempadan sebelum 1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai sempadannya serta kemasukan Palestin sebagai ahli penuh PBB,” katanya.

Buat kali pertama sejak Perang Gaza tercetus sejak Oktober tahun lalu, UNSC pada semalam, akhirnya sebulat suara mengundi untuk melaksanakan gencatan senjata di wilayah terkepung itu.

AS yang sebelum ini berulang kali menggunakan kuasa veto untuk menolak resolusi yang bertujuan memberi tekanan kepada sekutu kuatnya, Israel akhirnya mengambil pendirian berkecuali, manakala 14 negara anggota tetap UNSC sepakat menyokong draf itu.

Washington memberitahu pendirian mereka pada kali ini kononnya tidak menandakan perubahan dalam dasar negara berkenaan meskipun keputusan itu sudah mengundang kemarahan rejim Tel Aviv yang bertindak membatalkan kunjungan ke AS sebagai tanda protes.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini