comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia mohon India eksport 500,000 tan metrik beras putih 

Foto hiasan

PUTRAJAYA: Kerajaan berhasrat mengemukakan permohonan peruntukan tambahan daripada India untuk mengeksport 500,000 tan metrik beras putih negara itu ke Malaysia.

Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, permohonan secara rasmi kepada kerajaan India itu, akan dibuat menerusi saluran diplomatik tidak lama lagi.

“Dalam pertemuan saya turut mengambil kesempatan merakamkan setinggi-tinggi penghargaan atas peruntukan khas kerajaan India mengeksport 170,000 tan metrik beras putih ke Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan selepas kunjungan hormat Menteri Luar India Dr S. Jaishankar ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, hari ini.

Pada 18 Oktober 2023, media melaporkan kerajaan India telah meluluskan pengeksportan 170,000 metrik tan beras putih bukan Basmati ke Malaysia, sebagai tanda persahabatan istimewa antara kedua-dua negara.

Datuk Seri Mohamad yang turut menghadiri sesi perbincangan antara Jaishankar bersama Datuk Seri Anwar berkata, Malaysia juga telah mengemukakan permohonan rasmi kepada India pada awal tahun ini, bagi mendapatkan peruntukan eksport khas sebanyak 100,000 tan metrik bawang, melalui pengaturan kerajaan dengan kerajaan (G2G).

Beliau berkata Malaysia amat menghargai hubungan dua hala yang baik dengan India dalam bidang pertanian dan sekuriti makanan.

“Peluang yang cukup luas untuk Malaysia dan India mengembangkan lagi skop kerjasama dua hala dalam pertanian dan sekuriti makanan” katanya.

Datuk Seri Mohamad berkata beliau berharap hubungan antara kedua-dua negara dapat mencapai tahap yang lebih tinggi dan meluas pada masa hadapan.

Beliau berkata nilai dagangan dalam sektor itu bagi tempoh Januari hingga November 2023 bernilai RM19.42 bilion.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini