comscore
Tumpuan :
Nasional

Malaysia tak iktiraf sekatan sehala oleh AS – PM

KUALA LUMPUR: Malaysia hanya mengiktiraf sekatan yang diklasifikasikan Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, kerajaan tidak mengiktiraf sekatan sehala (unilateral sanctions) yang dibuat negara lain termasuk Amerika Syarikat (AS) terutama dalam isu membabitkan Palestin.

“Kerajaan tidak iktiraf keputusan mana-mana negara termasuk AS yang mengenakan sekatan secara unilateral, kita hanya iktiraf keputusan Majlis Keselamatan PBB.

“Jadi tentunya kita tak setuju dengan cara dibuat AS dan keduanya tidak mempengaruhi dasar dan keputusan kita.

“Semalam, saya hubungi beberapa negara dan sahabat negara Islam yang memberikan pendirian sama bahawa kita tak iktiraf (Israel), sebab itu soal hubungan dengan Hamas kita teruskan dari dulu dan sekarang dan kita tidak hukum Hamas sebagai pengganas,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal (PN-Machang) mengenai pendirian kerajaan berhubung tindakan terkini Dewan Perwakilan Amerika Syarikat yang meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Pencegahan Pembiayaan Antarabangsa Hamas untuk mengenakan sekatan terhadap pihak luar yang menyokong Hamas serta pergerakan Jihad Islam Palestin.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, Malaysia akan meneliti dan memantau rapat perkembangan dan pelaksanaan RUU ini sekiranya diluluskan.

Beliau berkata, Malaysia juga akan terus menggesa AS untuk menunjukkan kepimpinan berkesan untuk keamanan antarabangsa, serta tegas dalam menghormati undang-undang antarabangsa dan konvensyen berkenaan terutama untuk keadilan kemanusiaan.

“Malaysia juga akan meneruskan perjuangan mendapatkan hak dan usaha memberi perlindungan serta bantuan kemanusiaan kepada rakyat Palestin menerusi perbincangan bersama negara yang sependapat serta melalui pertubuhan serantau dan antarabangsa seperti di peringkat Asean, Pertubuhan Negara Islam (OIC) dan PBB.

“Pada masa sama, kegagalan Majlis Keselamatan PBB untuk mencapai kata sepakat dalam memberikan perlindungan kepada rakyat Palestin amatlah mendukacitakan.

“Sehubungan ini, mustahak untuk Malaysia terus mendesak PBB agar perlindungan kepada rakyat Palestin terjamin berdasarkan undang-undang antarabangsa,” katanya.

Loading...
Terkini