comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Baling terima sumbangan Tabung Bencana NSTP-Media Prima

Pengerusi Kumpulan Media Prima Berhad Datuk Seri Dr Syed Hussain Aljunid (tiga kanan) menyerahkan replika cek kepada Pegawai Daerah Baling Mohd Shahadan Abdullah pada Majlis Penyerahan Bantuan Pasca Bencana kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling di Pejabat Daerah dan Tanah Baling. – FOTO : NSTP

BALING: Media Prima Berhad (MPB) menyerahkan sumbangan orang ramai melalui Tabung Bencana NSTP-Media Prima berjumlah RM118,200 kepada 591 keluarga mangsa bencana banjir lumpur dan aliran puing yang berlaku tahun lalu.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Syed Hussian Aljunid, berkata sumbangan RM200 setiap keluarga itu diharap meringankan beban mangsa yang terkesan.

Katanya, sumbangan diserahkan kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling yang kemudian akan mengagihkan bantuan kepada keluarga mangsa yang sudah dikenal pasti.

“Hari ini kita menyerahkan sumbangan orang ramai kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima berjumlah RM118,200 kepada Pejabat Daerah dan Tanah Baling untuk diagihkan kepada 591 mangsa bencana di daerah Baling.

“Kami berharap sumbangan ini dapat sedikit sebanyak mengurangkan bebanan mangsa bencana yang masih dalam proses pemulihan dan memulakan kehidupan baharu selepas kejadian,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Syed Hussian berkata, usaha membantu orang ramai akan diteruskan MPB melalui misi bantuan khususnya di negeri yang terkesan akibat bencana.

Sementara itu, Pegawai Daerah Baling, Mohd Shahadan Abdullah, berkata pihaknya akan segera menyalurkan bantuan berkenaan kepada mangsa khususnya di Kampung Iboi yang paling teruk terjejas dalam kejadian Julai tahun lalu.

“Bagi pihak Jawatankuasan Bencana Daerah Baling, saya merakamkan ucapan penghargaan kepada pihak MPB yang sudi menghulurkan bantuan kepada mangsa banjir di seluruh mukim daerah ini.

“Daerah ini boleh dianggap kerap berlaku banjir kilat dengan purata kejadian dua kali sebulan antara tempoh Jun hingga Disember tahun lalu, jadi kita memang sangat mengharapkan bantuan sebegini,” katanya.

Mohd Shahadan berkata, pihaknya dalam persediaan berhadapan musim hujan dan kemungkinan banjir kilat sekali lagi tahun ini, terutama bermula September hingga hujung tahun.

Banjir puing pada 4 Julai tahun lalu menyebabkan 41 kawasan di daerah Baling terjejas yang turut mengorbankan tiga nyawa termasuk wanita hamil, selain mengakibatkan kerugian dianggar berjumlah RM28 juta.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan kepada Tabung Bencana NSTP-Media Prima, boleh berbuat demikian melalui akaun Bank Muamalat 14010008843712.

Loading...
Terkini