comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Ulang Tahun 39 TV3 : Siar Lebih Banyak Program CSR Bantu Komuniti Memerlukan

Oleh Siti Khadijah Jaafar

PETALING JAYA: Walaupun saban tahun berdepan cabaran menepati sasaran komersilnya, Media Prima Berhad (MPB) komited memperbanyakkan program Tanggungjawab Sosial Korporat, (CSR) menerusi platform media sosial dan stesen televisyennya.

Misi membela kebajikan rakyat itu diangkat khususnya oleh TV3 yang menyambut ulang tahun ke 39 hari ini.

Program realiti amal seperti Bersamamu dan Singgah Sahur yang disiarkan TV3 begitu dekat di hati penonton dan membawa sinar kepada golongan memerlukan.

Ikuti kupasan mengenai tekad Media Prima menggunakan ulang tahun ke-39 TV3 untuk memperbaharui iltizam mendukung tanggungjawab sosial kepada masyarakat.

Antaranya tampil menghulur bantuan tidak kira apa jua jenis bencana atau tragedi, nilai tambah yang membezakan TV3  dengan banyak syarikat lain.

Pengerusi Kumpulan Media Prima, Datuk Seri Dr Syed Hussian Aljunid berkata, tahun lalu sahaja, 276 individu miskin menerima bantuan kewangan dari Tabung Bersamamu TV3 sekaligus menjadi platform kepada mereka yang mahu menderma.

Beliau juga turun padang menghulurkan bantuan kepada individu terlibat termasuk mangsa banjir dan keluarga daif.

“Syukurlah sebab apa TV3 memang selalu memainkan peranan kita tanggungjawab kita terhadap CSR dan kita juga mendapat sambutan daripada semua orang yang melihat program-program TV3  dan didalam news kita memang selalu lah boleh kata setiap malam setiap hari ada sahaja kes yang kita akan paparkan dan Alhamdulillah kita selalu mendapat sambutan” katanya.

Justeru lebih banyak pengisian berbentuk CSR akan diterapkan dalam program sedia ada khususnya semua platform Buletin TV3.

TV3 turut menganjuran Jom Heboh sejak dua dekad lalu yang menampilkan hiburan, aktiviti dan pameran percuma yang mendapat sambutan memberangsangkan di setiap lokasi.

Ketika perintah kawalan pergerakan (PKP) juga, TV3 menganjurkan Jom Heboh secara maya bagi memastikan penonton terhibur walaupun pergerakan terbatas di rumah.

Menyentuh skop CSR secara meluas membabitkan keseluruhan rangkaian Media Prima pula, Datuk Seri Syed Hussian berkata, tiga bidang utama iaitu mata pencarian, sokongan perubatan dan bantuan bencana menjadi fokus syarikat.

Ia dizahirkan antaranya menerusi tabung bencana NSTP-Media Prima, tabung Metro Prihatin dan Tabung Kemanusiaan Palestin Media Prima.

Tahun lalu juga 3.3 juta ringgit diagih kepada 10 ribu mangsa banjir dan golongan kurang berkemampuan selain menampung kos perubatan dan pembedahan 16 pesakit.

Syarikat juga optimis meluaskan skop CSR yang fokus kepada kebajikan haiwan terbiar pada masa akan datang.

“Kita juga akan mengkaji jika ada keperluan untuk kita bekerjasama dengan jabatan kerajaan umapamanya local council di mana kita juga prihatin juga terhadap binatang-binatang kadang kita tengok kucing terbiar di tepi jalan anjing dan sebagainya lah dan juga berbagai jenis binatang yang lain”, katanya.

Datuk Seri Dr Syed juga berharap lebih banyak badan bukan kerajaan, NGO serta agensi berkaitan menyokong usaha murni syarikat kerana sumbangan mereka membawa perubahan besar kepada komuniti.

Antara mereka yang tidak mungkin lupa jasa dan bantuan yang diterima adalah Annuar Ismail.

Beliau terpaksa berhenti kerja bagi menjaga isterinya, Rohana Mohamad yang lumpuh sejak dua tahun lalu serta lima anak mereka.

Beban keluarga ini bagaimapun diringankan menerusi bantuan kewangan dan barangan keperluan asas yang diterima mereka menerusi program Bersamamu terbitan TV3 Februari lalu.

“Terima kasihlah TV3 bersamamu yang dia bagi beras, duit terima kasih banyak bersamamu”.

“TV3 tolong saya terima kasih!”

Bak kata orang, sesama teman saling membantu, nescaya ringan beban hidupmu, tolong menolong dibiasakan, disukai teman disayang tuhan.

Loading...
Terkini