comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa banjir di Johor tidak banyak berubah setakat 12 tengah hari

Sebahagian rumah penduduk di Taman Nira, Batu Pahat ditenggelami air, semalam. FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Mangsa banjir di Johor tidak banyak berubah setakat jam 12 tengah hari ini, hanya berkurangan enam orang berbanding jam 8 pagi tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, hanya Kota Tinggi dan Mersing yang mencatatkan pengurangan mangsa banjir masing-masing seorang dah lima orang pada tengah hari ini.

Manakala, beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Kluang, Segamat dan Batu Pahat tidak berganjak sejak pagi tadi.

“Di Johor, jumlah mangsa banjir terkini adalah seramai 1,124 orang daripada 319 keluarga berbanding 1,130 orang membabitkan 321 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

“Semua mangsa banjir itu masih ditempatkan di 13 pusat pemindahan sementara (PPS) yang beroperasi di lima daerah terjejas banjir di negeri ini.

“Jumlah mangsa banjir di Kota Tinggi hanya berkurang seorang menjadi 254 orang membabitkan 64 keluarga di empat PPS yang masih beroperasi.

“Jumlah mangsa banjir di Mersing berkurang lima orang menjadi 606 mangsa daripada 184 keluarga yang ditempatkan di empat PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, di Kluang pula masih dengan 153 mangsa daripada 41 keluarga yang semuanya hanya ditempatkan di dua PPS.

“Segamat kekal dengan 88 orang daripada 25 keluarga di dua PPS dan Batu Pahat tidak berubah dengan 23 orang daripada lima keluarga yang berada di satu PPS,” katanya.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana kawasan di Johor, namun amaran kuning (waspada) iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Kluang, Mersing, Kulai, Kota Tinggi dan Johor Bahru yang dijangka berlaku sehingga hari ini.

Sementara itu, semua daerah di Johor dilaporkan cerah setakat jam 12 tengah hari ini.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini