comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mangsa banjir Johor menurun, cuaca baik

 

JOHOR BAHRU: Jumlah mangsa banjir di Johor setakat jam 12 tengah hari ini menurun kepada 4,940 orang membabitkan 1,379 keluarga, berbanding 4,982 orang daripada 1,390 keluarga pada jam 8 pagi tadi.

Menurut Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani, semua mangsa banjir kini ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) yang masih beroperasi di enam daerah terjejas banjir di negeri ini.

“Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir yang paling ramai, namun semakin berkurangan daripada 3,773 orang membabitkan 1,037 keluarga pagi tadi kepada 3,742 orang daripada 1,029 keluarga yang ditempatkan di 23 PPS.

“Turut mencatatkan pengurangan adalah jumlah mangsa banjir di Batu Pahat iaitu 70 orang (19 keluarga) pagi tadi kepada 62 orang (17 keluarga) yang berada di satu PPS.

“Mersing yang baharu terjejas dengan banjir semalam turut mencatatkan pengurangan mangsa iaitu daripada 620 orang (187 keluarga) pagi tadi kepada 617 orang (180 keluarga) yang ditempatkan di empat PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, jumlah mangsa banjir di Johor Bahru, Kluang dan Segamat pula tidak berubah yang mana Johor Bahru masih kekal dengan mangsa banjir seramai 80 orang membabitkan 19 keluarga di satu PPS.

Katanya, Kluang dengan 350 mangsa daripada 102 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di tiga PPS dan Segamat hanya seramai 89 orang daripada 26 keluarga di dua PPS.

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana kawasan di Johor, namun amaran jingga (buruk) iaitu hujan lebat berterusan dikeluarkan di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dijangka berlaku sehingga esok.

Selain itu, amaran kuning (waspada) iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru juga dijangka berlaku sehingga esok.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini