comscore
Tumpuan :
Nasional

4,982 mangsa banjir di Johor masih di PPS, berkurang berbanding malam tadi

Anggota APM membantu mangsa banjir di Mersing. – FOTO: APM Johor

JOHOR BAHRU: Setakat jam 8 pagi ini, jumlah mangsa banjir di Johor berkurang kepada 4,982 orang membabitkan 1,390 keluarga berbanding 5,018 orang daripada 1,399 keluarga pada jam 8 malam tadi.

Setiausaha Kerajaan Negeri Johor, Tan Sri Dr Azmi Rohani berkata, semua mangsa banjir itu kini ditempatkan di 34 pusat pemindahan sementara (PPS) selepas satu PPS di Kota Tinggi ditutup.

“Kota Tinggi masih mencatatkan jumlah mangsa banjir yang paling ramai, namun semakin berkurangan daripada 3,830 orang membabitkan 1,052 keluarga pada malam tadi kepada 3,773 orang dariapda 1,037 keluarga yang ditempatkan di 23 PPS.

“Turut mencatatkan pengurangan adalah jumlah mangsa banjir di Batu Pahat iaitu daripada 74 orang (20 keluarga) malam tadi, kepada 70 orang (19 keluarga) pagi ini yang berada di satu PPS,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Azmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) berkata, hanya Mersing terus mencatatkan penambahan mangsa banjir iaitu daripada 595 orang (180 keluarga) malam tadi kepada 620 orang (187 keluarga) pagi ini yang ditempatkan di empat PPS.

“Jumlah mangsa banjir di Johor Bahru, Kluang dan Segamat pula tidak berubah yang mana Johor Bahru masih kekal dengan mangsa banjir seramai 80 orang membabitkan 19 keluarga di satu PPS; Kluang dengan 350 mangsa daripada 102 keluarga yang semuanya masih ditempatkan di tiga PPS dan Segamat hanya seramai 89 orang daripada 26 keluarga di dua PPS,” katanya.

Situasi banjir Kampung Air Papan, Mersing. – FOTO: APM Johor

Sementara itu, berdasarkan laporan Jabatan Kerja Raya Malaysia (JKR) Negeri Johor, Jalan Tanah Abang di Mersing serta dua kawasan di Lingkaran Kahang Barat dekat Kluang masih terjejas dengan banjir selepas dinaiki air dan masih ditutup bagi laluan semua jenis kenderaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (Met Malaysia) pula tidak mengeluarkan sebarang amaran ribut petir di mana-mana kawasan di Johor, namun amaran jingga (buruk) iaitu hujan lebat berterusan dikeluarkan di Segamat, Kluang, Mersing dan Kota Tinggi dijangka berlaku hingga esok.

Keadaan kediaman penduduk Kampung Air Papan, semalam berikutan kediaman mereka dinaiki air susulan pertembungan air pasang besar dan hujan lebat berterusan, sejak malam kelmarin.- FOTO: APM Johor

Keadaan kediaman penduduk Kampung Air Papan, semalam berikutan kediaman mereka dinaiki air susulan pertembungan air pasang besar dan hujan lebat berterusan, sejak malam kelmarin.- Foto APM Johor

Selain itu, amaran kuning (waspada) iaitu hujan berterusan dikeluarkan di Tangkak, Muar, Batu Pahat, Pontian, Kulai dan Johor Bahru juga dijangka berlaku sehingga esok.

Sementara itu, semua daerah di Johor dilaporkan cerah setakat jam 8 pagi ini.

Loading...
Terkini