comscore
Tumpuan :
Nasional

Mangsa kemalangan pun datang mengundi

Mangsa kemalangan, Mohamad Shahrul Rizuan Rokiman, sanggup datang mengundi walaupun dalam keadaan paha dan kaki kanan patah. – Foto: NSTP

PASIR PUTEH: Patah paha dan kaki kanan tidak menghalang pengundi muda, Mohamad Shahrul Rizuan Rokiman, 19, daripada menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi pada Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15), hari ini.

Malah, Shahrul tiba seawal jam 9 pagi dan mengundi jam 9.10 pagi tadi di saluran empat Sekolah Kebangsaan Wakaf Raja, di sini.

Remaja itu dibantu bapa saudara, Muhamad Abdul Ghani, 44, yang sanggup menolak kerusi rodanya sejauh kira-kira satu kilometer dari tempat letak kereta ke pusat mengundi.

Katanya, walaupun dalam keadaan sakit dan pergerakan terbatas, dia tidak mahu melepaskan peluang mengundi buat pertama kali dalam hidupnya.

“Saya tetap nak tunai tanggungjawab mengundi calon yang akan memimpin negara kita.”Apatah lagi ini kali pertama saya jadi pengundi, jadi rasa lebih bersemangat nak datang,” katanya ketika ditemui di sekolah berkenaan, di sini, hari ini.

Shahrul berkata, dia terbabit kemalangan jalan raya ketika pulang daripada kerja sebagai pengendali pesawat kargo di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), September lalu.

Lebih malang, katanya, dia baru enam bulan bekerja di KLIA sebelum kemalangan berlaku.

“Bulan depan saya akan menjalani pembedahan memasukkan besi ke dalam kaki pula,” katanya yang berada di Hospital Selayang selama dua minggu selepas kemalangan.

Sementara itu, bapa saudaranya, Muhamad berkata, dia datang seawal jam 8 pagi untuk mengundi bagi memudahkan dia pulang mengambil Shahrul untuk mengundi.

Katanya, dia menjadi individu ketiga mengundi di sekolah itu dan selain Shahrul, ibu dan neneknya, Che Siti Mariam Mail, 37, dan Fatimah Ismail, 72, turut mengundi di sekolah sama.

“Dia (Shahrul) sendiri yang minta nak datang mengundi.

Sebagai ahli keluarga yang amat rapat, saya memberi sokongan dengan membantu membawa dia ke tempat undi,” katanya.

Calon PAS, Datuk Dr Nik Muhammad Zawawi Salleh turut mengundi di sekolah itu pada jam 8.40 pagi bersama isteri, Datin Zuraini Che Hamid. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini