comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah air di Kelantan, Sabah akan ditangani walaupun belanja besar – PM

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berucap pada Perjumpaan YAB Perdana Menteri Bersama Warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya. – Foto NSTP

PUTRAJAYA: Meskipun melibatkan belanja besar, masalah air di Kelantan dan Sabah akan ditangani kerajaan persekutuan.

Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, beliau sudah berunding dengan Ketua Menteri Sabah Hajiji Nor dan Menteri Besar Kelantan Ahmad Yakob mengenai masalah air itu dan mempersembahkan kepada Sultan Kelantan Sultan Muhammad V bahawa kerajaan pusat perlu mengambil alih tanggungjawab mengenai masalah air walaupun belanjanya besar.

“Masalah air di Kelantan dan Sabah perlu ditangani kerana ia adalah masalah asas dan bukanlah hal politik,” katanya pada majlis perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri bagi bulan Mei 2023 hari ini.

Semalam, Anwar berkata beliau akan mengundang Hajiji dan Ahmad dalam tempoh dua minggu ini untuk mencari jalan menyelesaikan masalah air di kedua-dua negeri itu.

Anwar yang juga menteri kewangan berkata berdasarkan perancangan, usaha mengatasi masalah air di Kelantan dan Sabah mengambil masa terlalu panjang dalam RMK12 dan Belanjawan 2023.

Menurutnya, kerajaan juga sedang mempersiapkan kajian semula separuh penggal RMK12.

Beliau juga akan mengadakan perbincangan di peringkat Kementerian Ekonomi dan Kementerian Kewangan bagi menyelesaikan masalah bekalan air di Kelantan dan Sabah.

Anwar berkata hal-hal kemudahan asas seperti jalan berlubang dan berlopak di sesetengah bandar juga perlu diselesaikan dengan peruntukan RM1 bilion telah disalurkan tahun ini.

“(Dalam mengatasi hal kemudahan asas), penjawat awam perlu berganjak sedikit daripada perencanaan atau penggubalan dasar,” katanya.

Loading...
Terkini