comscore
Tumpuan :
Nasional

Masalah air di UMS selesai menjelang Mac

Datuk Seri Zambry Abd Kadir pada sidang media selepas beramah mesra dengan pemimpin masyarakat di Kampung Merlimau Pantai.  FOTO: NSTP

JASIN: Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) akan memastikan masalah air yang membelenggu pelajar Universiti Malaysia Sabah (UMS) diselesaikan selewat-lewatnya Mac depan.

Menterinya, Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata,  jaminan itu diberikan pihak pengurusan universiti berkenaan dan pihaknya mengambil perhatian terbabit serta mahu ia direalisasikan.

“Saya mahu ia diselesaikan pada kadar segera dan di  pihak kerajaan negeri saya faham, mereka perlukan masa untuk memasang fasiliti yang diperlukan, namun di pihak universiti saya tidak mahu memberi tempoh tertentu, tetapi tidaklah sampai setahun untuk diselesaikan kerana ia terlalu panjang.

“UMS telah memaklumkan untuk menyelesaikan masalah air itu dalam tempoh sehingga Mac, justeru saya mahu lihat tindakan lanjut apa yang mereka laksanakan,” katanya ketika ditemui selepas beramah mesra dengan pemimpin masyarakat di Kampung Merlimau Pantai, hari ini.

Beliau turut mengadakan lawatan ke Kolej Komuniti Jasin serta Politeknik Merlimau.

FOTO: NSTP

Hadir sama Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau merangkap Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh, ADUN Sungai Rambai, Siti Faizah Abd Azis dan ADUN Rim, Datuk Khaidirah Abu Zahar.

Mengulas lanjut, Datuk Seri Zambry berkata, beliau amat bersimpati dengan masalah di UMS, terutama apabila sekumpulan pelajar membawa plakad sewaktu program turun padangnya di universiti itu, awal bulan ini.

“Saya tahu mereka berhadapan dengan masalah yang berpanjangan sejak 2021, jadi sewajarnya pihak universiti menjadikan masalah itu sebagai keutamaan untuk diselesaikan pada kadar segera.

“Alasan seperti tidak ada peruntukan dan sebagainya tidak timbul kerana ia boleh dibincang serta dimaklumkan kepada kerajaan untuk diselesaikan,” katanya.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini