comscore
Tumpuan :
Nasional

Masyarakat dan keluarga berperanan bantu pesakit mental daripada ganggu keselamatan umum

Foto hiasan

Oleh : Shuhadah Marzuki

PETALING JAYA: Kesedaran mengenai masalah kesihatan mental perlu dipupuk dalam setiap lapisan masyarakat agar tindakan sewajarnya dapat diberikan kepada pesakit mental secepat yang mungkin.

Pakar Psikologi, Dr Noor Aishah Rosli berkata untuk mengelakkan situasi tidak diingini berlaku, masyarakat tidak seharusnya melakukan sebarang tindakan sehingga mencetuskan kemarahan atau perubahan sikap daripada pesakit mental terbabit.

Pakar Psikologi, Dr Noor Aishah Rosli. – Foto : Noor Aishah Rosli / Facebook

“Pesakit mental perlu dilayan baik, jangan cetuskan kemarahan kepada mereka. Ia kerana ‘chemical’ dalam otak pesakit mental itu tidak stabil sehingga gagal membezakan perkara yang rasional dan tidak rasional. Jadi individu yang rasional perlu jaga tutur kata,” kata Dr Aishah ketika ditemu bual dalam program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan Media Prima Berhad di Sri Pentas di Bandar Utama di sini hari ini.

Pada masa sama, Dr Aishah menasihatkan orang ramai supaya tidak menghampiri pesakit mental jika mereka didapati sedang bertindak agresif.

Katanya, laporan perlu dibuat segera agar pihak yang lebih profesional dapat mengambil tindakan terhadap individu terbabit.

Jelasnya lagi, sokongan keluarga amat diperlukan dalam membantu pesakit mental untuk mendapatkan rawatan serta terapi.

Pakar Psikologi, Dr Noor Aishah Rosli (paling kanan) ketika ditemu bual dalam program bual bicara, Malaysia Hari Ini (MHI) terbitan Media Prima Berhad di Sri Pentas di Bandar Utama di Petaling Jaya hari ini.

Setiap ahli keluarga perlu peka terhadap sebarang perubahan perasaan atau tingkah laku secara drastik di kalangan pesakit mental.

“Sebagai sebuah keluarga menjadi tanggunjawab setiap ahli menasihati serta meminta ahli keluarga yang mengalami masalah mental mendapatkan rawatan secara terapi atau melalui pengambilan ubat. Negara maju menganggap psikoligis sebagai satu klinik biasa,” ulas Dr Aishah lagi.

Dr Aishah turut menasihati agar ahli keluarga tidak meninggalkan pesakit mental berada bersendirian dengan kanak-kanak dan warga emas.

Menjelaskan lebih lanjut, Dr Aishah berkata sekiranya mana-mana individu dalam sesebuah organisasi dikenal pasti mengalami masalah mental, laporan perlu dibuat kepada mana-mana pihak yang bertanggungjawab.

“Buat aduan kepada pihak berkuasa atau pihak organisasi untuk memastikan individu itu dapat terapi. Walaupun individu itu mempunyai kuasa atau pangkat tinggi, ia perlu dilaporkan kerana masalah terbabit perlu dibendung,” jelas Dr Aishah.

Dr Aishah menjelaskan intervensi awal dapat mengawal masalah mental berlarutan walaupun individu terbabit hanya mengalami tekanan.

Artikel berkaitan : Masalah kesihatan mental membimbangkan

Loading...
Terkini