comscore
Tumpuan :
Nasional

Masyarakat India dinasihat jangan termakan fitnah, hasutan

Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk R Ramanan (dua kanan) beramah mesra dengan sebahagian masyarakat India pada Sesi Ramah Mesra bersama Masyarakat India Kuala Kubu Baru, Dewan Merdeka, Kuala Kubu Baru semalam. – FOTO: NSTP

HULU SELANGOR: Jangan termakan fitnah atau hasutan segelintir pemimpin komuniti India yang dikatakan gemar memberi gambaran salah berhubung kebajikan golongan berkenaan.

Nasihat itu dilontarkan Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk R Ramanan kepada pengundi terdiri daripada masyarakat India di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Bharu.

Menurut Ramanan, keadaan itu sering berlaku, terutama ketika negara berdepan pilihan raya, termasuk Pilihan Raya Kecil (PRK).

Ahli Parlimen Sungai Buloh itu juga berharap semua pemimpin komuniti India dapat menjalankan peranan sebaiknya dengan memberikan maklumat tepat, selain mengetengahkan politik matang sepanjang tempoh kempen PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“Saya sedih kerana keadaan ini sering berulang. Paling teruk sekali apabila fitnah dilemparkan mereka ini sememangnya tidak tepat, sekali gus mewujudkan suasana kacau-bilau.

“Keadaan ini merugikan semua pihak, bukannya terhad kepada komuniti India semata-mata. Justeru, mereka sewajarnya mengetengahkan sesuatu isu yang produktif dan membawa kebaikan kepada semua lapisan masyarakat,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Sesi Ramah Mesra Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Unit Transformasi Masyarakat India (MITRA) bersama masyarakat India Kuala Kubu Bharu, semalam.

Yang turut hadir, Pengerusi MITRA merangkap Ahli Parlimen Batu dan Timbalan Pengerusi Majlis Pimpinan PKR Wilayah, P Prabakaran; Pegawai Tugas-tugas Khas kepada Perdana Menteri, M Shanmugam serta Ahli Dewan Undangan Negeri Sentosa, Dr G Gunarajah.

PRK DUN Kuala Kubu Baharu diadakan susulan kematian penyandangnya, Kee Hiong dari DAP akibat barah, pada 21 Mac lalu.

Pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor, mendiang Kee Hiong mengekalkan penguasaan di DUN Kuala Kubu Bharu dengan majoriti 4,119 undi, mengalahkan tiga lagi saingannya daripada Perikatan Nasional, Parti Rakyat Malaysia dan MUDA.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari penamaan calon pada Sabtu ini, diikuti hari pengundian pada 11 Mei.

Dalam perkembangan lain, Ramanan berkata, penyertaan Parti Rakyat India Malaysia (MIPP) ke dalam Perikatan Nasional (PN) tidak menjejaskan sokongan komuniti India terhadap calon Kerajaan Perpaduan pada PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

Beliau menyifatkan keputusan itu sebagai ‘window dressing’ untuk memberi gambaran kononnya PN berjaya menarik perhatian komuniti India, terutama bagi menghadapi PRK DUN Kuala Kubu Bharu.

“Banyak parti baharu tumbuh bak cendawan, terutama apabila tiada persefahaman dengan kepimpinan atau tidak diberi peluang untuk bertanding pada pilihan raya. Jadi saya rasa ia tidak memberi saingan kepada Kerajaan Perpaduan dalam memenangi kepercayaan pengundi India,” katanya.

Sementara itu, Prabakaran menyifatkan keputusan PN menerima penyertaan MIPP itu sebagai gimik bagi meraih sokongan masyarakat India, selain menegaskan ia adalah taktik lama untuk berdepan pilihan raya.

“Saya percaya pengundi DUN Kuala Kubu Bharu matang dalam menentukan calon selayaknya yang akan mewakili mereka dan kami berharap pengundi India dapat membuat pilihan sebaiknya dan memilih calon yang tepat,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini