comscore
Tumpuan :
Mahkamah

[VIDEO] Kembali ke penjara, rayuan Siti Bainun ditolak

 


Oleh: Nurul Amalina Zainudin

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi mengekalkan sabitan dan hukuman ke atas Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali atas kesalahan mengabai dan menganiaya kanak-kanak ‘sindrom down’.

Hakim Datuk Noorin Badaruddin membuat keputusan itu selepas menolak rayuan Siti Bainun untuk mengenepikan sabitan dan hukuman menerusi 119 alasan yang dikemukan perayu melalui petisyen rayuan.

Dalam kesimpulan Hakim Datuk Noorin menolak rayuan itu, beliau berkata tidak ada keadaan yang menunjukkan perayu terkeliru dengan pertuduhan ke atasnya, yang mengakibatkan perayu tidak berupaya membela diri, perayu telah diberi notis yang mencukupi melalui pertuduhan yang dikemukakan sejak awal lagi.

Pengasas Rumah Bonda, Siti Bainun Ahd Razali

“Melalui keterangan yang dikemukan dan pemeriksaan balas yang panjang daripada saksi-saksi pendakwaan, perayu tahu, tidak terkeliru dan faham bahawa pertuduhan-pertuduhan terhadapnya adalah pengabaian dan penganiayaan yang dilakukan olehnya secara fizikal dan emosi terhadap mangsa.

“Melalui keterangan-keterangan yang dikemukakan pihak pendakwaan membuktikan the approximity bahawa kesalahan-kesalahan dilakukan antara Februari 2021 sehingga Jun 2021 iaitu kanun kejadian dalam kedua-dua pertuduhan.

“Pakar perubatan mengesahkan kecederaan-kecederaan yang dialami mangsa bukan terhasil daripada satu insiden sahaja.

“Tidak ada sebab untuk mengenepikan atau tidak bersetuju dengan dapatan hakim mahkamah sesyen yg sebelum ini.

Dalam penghakimannya Datuk Noorin turut berkata, adalah sukar membuat dapatan bahawa dua saksi mereka-reka cerita terhadap perayu apabila keterangan mereka disokong oleh keterangan perubatan yang secara konsisten mendapati kecedaraan dialami mangsa adalah kecederaan bukan disebabkan kemalangan atau ‘non-accidental injury’.

“18 kecederaan dan parut-parut di badan mangsa telah dibuktikan oleh kesemua saksi pakar perubatan bahawa kecederaan yang dialami mangsa adalah dilakukan pihak ketiga, bukannya secara kendiri atau ‘self-inflicted’.

“Berdasarkan keterangan dikemukakan menjurus kepada perayu dan perayu sahaja lah orang yang telah menyebabkan kecederaan fizikal dan emosi mangsa.

Pada 7 Mac lalu, Hakim Datuk Noorin selesai mendengar hujahan rayuan pihak peguam dan pendakwaan berhubung rayuan Siti Bainun, 32, terhadap sabitan dan hukuman.

3 Mei tahun lalu, Hakim Mahkamah Sesyen Izralizam Sanusi Izraliza menjatuhkan hukuman penjara 12 tahun terhadap Siti Bainun selepas mendapati bersalah atas dua pertuduhan mengabai dan menganiaya Bella, 13 dan memerintahkannya menjalani hukuman penjara itu serta-merta selepas menolak permohonannya untuk menangguhkan hukuman.

Mahkamah Tinggi pada 23 Mei 2023 menolak permohonan Siti Bainun selepas mendapati tiada keadaan khas atau luar biasa untuk berbuat demikian.

Mengikut pertuduhan, Siti Bainun didakwa mengabai dan menganiaya remaja perempuan sindrom Down berusia 13 tahun itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi di sebuah kondominium di Wangsa Maju antara Februari dan Jun 2021.

Kedua-dua pertuduhan itu mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya.

Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Zahida Zakaria, Nor Azizah Mohamad dan Analia Kamaruddin manakala peguam Haijan Omar, Nur A’minahtul Mardiah Md Noor dan Nurul Hafidzah Hassan mewakili Siti Bainun.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini