comscore
Tumpuan :
Nasional

Masyarakat jangan sembunyi, lindung kes aniaya, abai kanak-kanak – Nancy

Datuk Seri Datuk Seri Nancy Shukri pada sidang media ketika melawat Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor Bahru, hari ini. – FOTO: NSTP

JOHOR BAHRU: Sebanyak 3,848 kes penganiayaan dan penderaan kanak-kanak dilaporkan di seluruh negara dalam tempoh lapan bulan pertama tahun lalu.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri, berkata bagi keseluruhan 2021 pula, kes dilaporkan adalah sebanyak 6,144, meningkat daripada 5,858 kes pada tahun sebelumnya, manakala pada 2019 pula membabitkan 6,382 kes.

“Kita yakin terdapat kes yang tidak dilaporkan. Sepatutnya, penganiayaan dan penderaan kanak-kanak tidak seharusnya disembunyikan, perlu dilaporkan kerana dapat membuka ruang bagi siasatan dan tindakan sesuai.

“Masyarakat diminta tampil melaporkan kes seperti ini menerusi Talian Kasih kerana ia menjadi mekanisme bagi menyelamatkan mangsa,” katanya pada sidang media ketika mengadakan lawatan ke Rumah Perlindungan Kanak-kanak Johor Bahru, di sini hari ini.

Sementara itu, Nancy berkata, pihak kementerian akan melakukan lawatan ke institusi perlindungan kanak-kanak di seluruh negara untuk melihat sendiri dan mendapatkan gambaran jelas bagi memahami keperluan perlindungan keselamatan diperlukan golongan berkenaan dan aspek perlu diperbaiki.

Katanya, Kabinet sebelum ini secara prinsip bersetuju dengan cadangan penubuhan sebuah jabatan atau institusi khas bagi menjaga kebajikan serta kepentingan kanak-kanak dan kementeriannya sedang meneliti perkara itu sebelum membuat sebarang keputusan.

“Kami juga berhasrat memperkasakan sumber manusia dengan meningkatkan kemahiran dan kepakaran dalam pengurusan kes bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). Kami juga berharap memperkasa komuniti untuk ambil berat dan peka keadaan sekeliling terutama kes babit kanak-kanak,” katanya.

Nancy berkata, Akta Kanak-Kanak 2001 yang dipinda pada pada 2017 dan kemudian pada 2021, sudah memadai untuk melindungi hak golongan berkenaan, namun ia akan dikaji semula untuk memastikan perlindungan lebih baik.

“Pindaan dilakukan pada 2017 dan 2021 tidak terhenti di situ, kita akan mencadangkan bagi memperkasakan pegawai, kementerian serta masyarakat,” katanya tidak menafikan masih ada kelemahan tertentu perlu diperbaiki demi menangani isu perlindungan kanak-kanak di negara ini.

Beliau berkata, sebagai menteri baharu menjaga portfolio berkenaan, beliau terbuka menerima teguran dan pandangan supaya apa juga kelemahan yang ada dapat diperbaiki.

“Kita perlu melihat dari sudut apa yang boleh diperbaiki pada masa depan. Misalnya kita perlukan kepakaran sesuai untuk tangani isu yang timbul. Bawah JKM, memang ada pegawai pelindung kanak-kanak, tapi mereka juga pikul pelbagai tugasan lain termasuk isu perlindungan dan akhlak.

“Malah, syarat taraf akademik pegawai pelindung juga mungkin perlu dipertingkatkan lagi, daripada peringkat diploma sedia ada kepada lebih tinggi supaya mereka memiliki pendedahan dan kemahiran mencukupi untuk tangani kes berkaitan kanak-kanak, terutama membabitkan psikologi,” katanya.

Sementara itu, beliau menegaskan, kanak-kanak yang menjadi mangsa penganiayaan boleh diselamatkan dengan dibawa ke hospital atau pusat perlindungan.

“Kebelakangan ini terdapat beberapa kes dilaporkan berkaitan pengabaian dan penderaaan kanak-kanak hingga mengakibatkan kehilangan nyawa. Apa yang kita tak boleh terima adalah ia membabitkan ibu bapa kandung.

“Kita ada Talian Kasih, ia harus diuar-uarkan kerana ia satu mekanisme untuk menyelamatkan kanak-kanak. Masyarakat dan pelbagai pihak juga perlu memainkan peranan penting,” katanya

Loading...
Terkini