comscore
Tumpuan :
Nasional

MAVCOM Pantau Harga Tiket Penerbangan Domestik

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Majoriti harga tiket penerbangan yang tersedia untuk pembelian bagi semua laluan ekonomi sehala ke Sabah dan Sarawak ketika musim Tahun Baharu Cina pada Januari tahun depan, adalah bawah kadar RM400.

Timbalan Menteri Pengangkutan, Datuk Henry Sum Agong, berkata ia berdasarkan julat harga tambang bagi laluan ke negeri berkenaan dalam tempoh musim perayaan itu, yang dipantau Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) pada 14 September lalu.

Katanya, tambang sehala kelas ekonomi bagi tempoh penerbangan dari 18 hingga 26 Januari 2023 (tempoh pemerhatian) ialah antara RM100 hingga RM1,235, manakala bagi 20 hingga 21 Januari 2023 (tempoh puncak) pula adalah antara RM210 hingga RM1,400.

Beliau berkata, kementerian mengadakan perbincangan dengan MAVCOM dan syarikat penerbangan domestik bagi memastikan harga tiket penerbangan yang ditawarkan adalah kompetitif, dan syarikat penerbangan bersetuju untuk menambah kapasiti penerbangan dari semasa ke semasa bergantung pada permintaan.

“Kementerian Pengangkutan melalui MAVCOM akan meneruskan pemantauan terhadap harga tiket bagi semua laluan penerbangan domestik, termasuk laluan antara Semenanjung dengan Sabah dan Sarawak,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau menjawab soalan asal Wan Hassan Mohd Ramli (PAS-Dungun) mengenai inisiatif Kementerian Pengangkutan bagi mengawal dan memantau harga tiket penerbangan domestik , yang pada kebanyakan masa adalah mahal serta tidak berpatutan. – BERITA HARIAN

Loading...
Terkini