comscore
Tumpuan :
Nasional

Mayat lelaki warga asing ditemukan di tepi jalan

Seorang lelaki ditemui meninggal dunia di tepi jalan berdekatan sekolah di Kuala Langat, semalam-Foto: NSTP/Ihsan Polis

SHAH ALAM: Seorang lelaki dipercayai warga asing ditemukan meninggal dunia di tepi jalan berdekatan sebuah sekolah di Kuala Langat, dekat sini, semalam.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat Supt Ahmad Ridhwan Mohd Nor@ Saleh berkata pihaknya menerima panggilan berkaitan penemuan mayat lelaki dianggar berusia 30-an itu pada 8.20 malam.

“Pemeriksaan fizikal pada mayat itu menemukan kesan kecederaan di belakang kepala. Mangsa dipercayai tergelincir sebelum terjatuh dan terkena penjuru longkang.

“Terdapat tompokan darah dijumpai dalam longkang berdekatan lokasi kejadian manakala mayat dihantar ke Hospital Banting untuk bedah siasat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata hasil siasatan anggota forensik di tempat kejadian mendapati kesan kecederaan di belakang kepala mangsa adalah disebabkan objek tumpul disyaki kesan terhantuk ke batu.

Pemeriksaan di sekitar lokasi penemuan mayat, katanya tidak menemukan sebarang objek yang mencurigakan dan kematian lelaki itu tidak mempunyai sebarang unsur jenayah.

“Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut,” katanya. — BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini