comscore
Tumpuan :
Nasional

MCMC kesan individu salah guna AI, sunting gambar aib – Fahmi

PUTRAJAYA: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sedang mengesan individu terlibat dalam penyalahgunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang menyunting gambar sehingga mengaibkan pengguna media sosial, kata Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil.

Beliau berkata langkah itu bertujuan membolehkan tindakan tegas diambil serta memastikan keselamatan pengguna dalam talian khususnya golongan kanak-kanak adalah terjamin.“…kita sangat risau dan sedang mengambil beberapa tindakan tegas mengenai keselamatan dalam talian, antara lain kita tegaskan bahawa kanak-kanak di bawah usia 13 tahun diharamkan daripada menggunakan sebarang aplikasi media sosial,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Perhimpunan Bulanan Kementerian Komunikasi di sini hari ini.

Sebelum ini tular di aplikasi X mengenai aktiviti menyunting gambar mengaibkan sehingga mengundang reaksi negatif daripada warganet, dan ramai juga yang memohon agar kerajaan mengharamkan penggunaan teknologi itu di negara ini.

Fahmi berkata Kementerian Komunikasi telah mengadakan sesi pertemuan dengan beberapa wakil penyedia platform media sosial bagi menjamin ketelusan dan akauntabiliti penggunaan media sosial, serta akan mengumumkan beberapa tindakan berhubung keselamatan pengguna dalam talian tidak lama lagi.

“Insya-Allah bulan Jun nanti saya akan mengadakan pertemuan dengan semua platform (media sosial) di Singapura (khususnya) mereka yang menguruskan aspek ‘moderation’ dan tentang kepatuhan kepada peraturan (media sosial) bagi setiap negara,” katanya.

Beliau turut mengulangi nasihat MCMC Ahad lepas yang mahu golongan ibu bapa memastikan anak-anak berusia bawah 13 tahun tidak memiliki akaun media sosial kerana kanak-kanak pada usia itu tidak sesuai untuk menggunakan mana-mana media sosial.

“Kepada ibu bapa yang ingin mengambil gambar (anak-anak) dan memuat naik gambar, saya mohon agar berhati-hati.. kita tidak pasti siapa yang akan menyalah guna gambar-gambar itu.

“Jadi saya sekali lagi mengatakan bukan hanya AI sahaja, tetapi ada beberapa jenayah dalam talian yang kita rasa boleh memangsakan pengguna media sosial terutamanya kanak-kanak, dan mereka yang mungkin tidak fasih (tentang syarat pemilikan akaun media sosial),” katanya.

Terdahulu ketika menyampaikan amanat di perhimpunan itu Fahmi berkata terdapat dua situasi membimbangkan di media sosial iaitu penyebaran ajaran sesat bagi menyebarluaskan fahaman serta dandanan seksual terhadap kanak-kanak melalui aplikasi WhatsApp.

“Ini sangat merisaukan, apatah lagi bila kita tengok ada teknologi baharu.. saya dimaklumkan mereka guna (aplikasi) DeepNude yang boleh membayangkan seseorang itu seolah-olah tidak berpakaian. Ini penggunaan teknologi yang dahsyat. Jadi cuba bayangkan kalau anak-anak kita menjadi mangsa,” katanya.

Justeru beliau menegaskan kerajaan tidak akan berkompromi dalam usaha menjamin keselamatan pengguna dalam talian terutamanya kanak-kanak. – BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini