comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] ‘Mecca Route’ diperluas kepada 6 negara lain 

Oleh Fahiz Ariff

SEPANG: Kejayaan Malaysia merintis Program Pra Pelepasan Jemaah Haji atau ‘Mecca Route’ mendorong program itu diperluaskan ke enam buah negara lain.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri Hal Ehwal Agama, Datuk Mohd Na’im Mokhtar berkata, dengan pemakluman itu, Malaysia menghargai komitmen Arab Saudi dalam meneruskan program yang telah dimulakan sejak 2018 itu.

“Malaysia ini adalah negara pertama di mana  ‘Mecca Route’  ini diperkenalkan dan sudah memasuki 5 tahun perkhidmatannya”.

“Alhamdulillah dengan kejayaan di Malaysia, ‘Mecca Route’  ini diperluas ke negara-negara lain, ujarnya ketika meninjau kaunter “Mecca Route” di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) di sini hari ini.

Untuk rekod, program itu telah diperluaskan ke Bangladesh, Indonesia, Ivory Coast, Maghribi, Pakistan dan Turkiye.

Dalam pada itu, beliau mengagumi kemudahan proses birokrasi kakitangan imigresen Arab Saudi di KLIA yang  menyemak pasport jemaah haji tanpa mengambil tempoh yang lama.

“Sebelum ini, bakal jemaah haji terpaksa menunggu empat hingga lima jam di Imigresen, tetapi dengan ‘Mecca Route’ seramai kira-kira 55 pegawai kerajaan Arab Saudi telah ditempatkan di sini selama sebulan bagi memudahkan perjalanan bakal jemaah haji”

“Selepas melalui Imigresen Malaysia, mereka terus bergerak ke sini (kaunter  ‘Mecca Route’ ), dan terus mendaftar dengan pasport mereka yang mengambil tempoh masa kurang seminit, dan ia selesai,” katanya.

Program ‘Mecca Route’  telah membolehkan bakal jemaah haji Malaysia ke Makkah tanpa perlu melalui prosedur yang memakan masa, sebaik tiba di lapangan terbang negara itu.

Ini kerana, anggota Imigresen Arab Saudi yang berada di kaunter di KLIA  akan memeriksa pasport jemaah haji apabila tiba di lapangan terbang Madinah atau Jeddah.

Sekaligus, jemaah haji Malaysia tidak perlu menunggu proses Imigresen dan kastam di negara itu.

Untuk rekod, musim haji tahun ini, sebanyak 98 penerbangan sewa khas haji disediakan dengan penerbangan pertama jemaah haji negara bermula pada 21 Mei manakala penerbangan pulang terakhir ialah pada 1 Ogos depan.

Malah, penerbangan tersebut membawa seramai 31 ribu 600 bakal jemaah haji Malaysia ke Tanah Suci bagi menunaikan rukun Islam kelima itu.

Loading...
Terkini