comscore
Tumpuan :
Nasional

Umat Islam makan beras import hanya perlu tunai kadar asas zakat fitrah – Mohd Na’im

FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: Kadar asas bayaran zakat fitrah di Wilayah Persekutuan, Putrajaya dan Labuan kekal RM7 seorang dengan penetapan itu terpakai untuk semua umat Islam tanpa mengambil kira jenis beras yang dimakan termasuk beras import.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata walaupun negara ketika ini berdepan isu ketiadaan beras tempatan, ia tidak menyebabkan berlaku kenaikan kepada kadar asas zakat fitrah.

Katanya, pengiraan kadar asas zakat fitrah sudah mengambil kira julat harga beras tempatan dan beras import biasa.

“Tidak timbul isu ketiadaan beras tempatan (menyebabkan individu yang memakan beras import perlu bayar zakat lebih tinggi). Bagi mana-mana individu tidak kira sama ada memakan beras import biasa atau beras yang lebih tinggi kualitinya sekalipun, tetap sah zakat fitrahnya jika dibayar mengikut kadar asas RM7,” katanya.

FOTO: Harian Metro/ Facebook

Mohd Na’im diminta mengulas kekeliruan segelintir umat Islam mengenai keperluan untuk membayar zakat fitrah mengikut jenis beras dimakan.

Kecelaruan itu timbul susulan bekalan beras tempatan yang tidak mencukupi ketika ini sehingga memaksa ramai beralih kepada beras import walaupun kurang berkemampuan.

Mengulas lanjut, beliau berkata umat Islam perlu memahami bahawa dua lagi kategori bayaran zakat fitrah iaitu bagi pengguna beras import premium, RM15 dan pengguna beras basmathi (RM22), bukanlah satu kewajipan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar.

“Pemilihan harga yang lebih tinggi adalah satu galakan dan dianggap lebih baik jika berkemampuan. Bagaimanapun, ia bukanlah satu kewajipan sebaliknya galakan untuk membayar dengan kadar yang lebih tinggi mengikut kemampuan,” katanya.

Jelasnya, penetapan harga fitrah dan kadar yang dianggap sah sudah dibincang Mesyuarat Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan Kali Ke-143 yang berlangsung pada Oktober tahun lalu.

Katanya, ini termasuk kajian ke atas harga beras dengan kajian semula akan dibuat tahun depan jika berlaku perubahan signifikan terhadap harga beras.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini