comscore
Tumpuan :
Nasional

Melaka akan lancar Kampung Digital, inisiatif pertama di Malaysia

Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh. – Foto NSTP

MASJID TANAH: Melaka akan melancarkan projek Kampung Digital, inisiatif pertama seumpamanya di negara ini bagi menambah baik sistem pengurusan penduduk dan pentadbiran kampung yang sekian lama terikat dengan kaedah konvensional.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusof, berkata kerajaan negeri bekerjasama dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) bagi tujuan itu dengan seluruh penduduk terbabit diminta mengemas kini alamat rumah dalam kad pengenalan mereka di JPN.

Jelas beliau, usaha itu yang langsung tidak membabitkan sebarang kos kewangan akan turut membantu sistem penyampaian perkhidmatan dan memudahkan pentadbiran kerajaan.

“Sebaik saya ambil alih pentadbiran negeri, saya memperkenalkan inisiatif Kampung Digital.

Sebagai anak kampung, saya lihat kaedah sistem penyampaian di Melaka ini masih berada pada taraf selepas merdeka,” katanya dalam temu bual eksklusif bersama Media Prima.

Beliau memberi contoh, kaedah konvensional mencetuskan banyak masalah seperti penghantaran dan penerimaan surat, terutama di kampung tradisional berikutan kediaman penduduk masih menggunakan alamat umum.

Bangunan Stadhuys di Bandar Hilir, Melaka

“Contohnya macam saya. Dalam kad pengenalan saya, ditulis alamatnya Batu 21, Kampung Pulau, Masjid Tanah, Melaka. Antara Batu 21 ke Batu 22, ada ramai lagi penduduk dalam kampung.

“Jika dalam kampung itu, nama sama, mereka tak nak terima surat, lebih-lebih lagi surat saman. Katakan Hussin Bin Jaafar, dalam satu kampung ada tiga orang nama sama. Jadi, tak tahu siapa, rumahnya tak tahu di mana. Sebab itu, banyak surat ditinggal di kedai runcit atau masjid.

“Dengan pelaksanaan projek Kampung Digital, semua rumah yang guna alamat umum akan mempunyai nombor sendiri yang tersusun.

“Kaedahnya, rumah di sebelah kanan arah utara akan diberikan nombor genap. Rumah di sebelah kiri arah utara akan diberikan nombor ganjil.

“Kajian sudah dibuat dan diperincikan, hasilnya semua rumah akan didigitalkan alamatnya dengan kaedah baharu, sekali gus pentadbiran penduduk juga akan menjadi lebih baik,” katanya.

Perkhidmatan beca di Bandar Hilir, Melaka. – Foto fail NSTP

Inisiatif itu, ujar beliau akan merubah keseluruhan urusan penghantaran dan penerimaan dokumen termasuk bil utiliti, sistem perbankan, urusan geran tanah, urusan dengan pihak berkuasa tempatan (PBT), selain memudahkan penyedia perkhidmatan.

“Kampung Pulau di Masjid Tanah jadi kampung perintis inisiatif ini. Kita sudah lengkap mendigitalkan kampung ini, hasilnya setiap rumah akan dapat kod QR. Kod QR ini ada maklumat alamat rumah dan boleh digunakan dalam dunia digital untuk memudahkan urusan.

“Inisiatif ini akan beri faedah kepada semua rakyat Melaka nanti. Insya-Allah, kita akan jemput Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyempurnakan perasmian kampung digital pertama ini nanti.

“Saya juga akan mengangkat cadangan supaya projek Kampung Digital ini dijadikan model untuk dilaksanakan di seluruh negara,” katanya.

Loading...
Terkini