comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri gesa pihak berkuasa agama jadi pencelah dalam kes Nik Elin 

PETALING JAYA: Pihak berkuasa agama Islam negeri, badan-badan berkanun berkaitan agama Islam dan badan-badan bukan kerajaan (NGO) berkaitan agama diseru supaya terlibat dalam kes berkaitan Nik Elin Zurina lawan Kerajaan Negeri Kelantan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar dalam satu kenyataan berkata, pihak berkenaan boleh turut serta sama ada sebagai pencelah (intervener), watching brief atau sahabat mahkamah (amicus curiae).

Beliau menegaskan, pihaknya akan bekerjasama dengan pihak berkuasa agama Islam bagi memastikan undang-undang syariah yang telah digubal oleh Badan Perundangan Negeri dilaksanakan sebaiknya.

“Jadual Kesembilan, Senarai 2, Senarai Negeri, Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Badan Perundangan Negeri mempunyai kuasa untuk menggubal undang-undang kesalahan jenayah Syariah bagi kesalahan-kesalahan yang berhubung dengan pelanggaran rukun-rukun Islam.

“Peruntukan tersebut juga telah diperkenan oleh Sultan dan Raja Pemerintah di setiap negeri sebelum dikuatkuasakan,” katanya lagi.

Beliau turut memberi jaminan kerajaan akan mempertahan dan menambah baik institusi kehakiman syariah di Malaysia.

Beliau mengingatkan sebarang komentar mengenai kes berkenaan diklasifikasikan sebagai sub-judice kerana ia masih di peringkat prosiding di Mahkamah Persekutuan.

Sebelum ini, seorang peguam kelahiran Kelantan dan anaknya mendapat kebenaran mahkamah untuk mencabar 20 peruntukan kesalahan dalam Enakmen Kanun Jenayah Syariah (1) 2019 Kelantan.

Nik Elin Zurina Nik Abdul Rashid dan Tengku Yasmin Nastasha Tengku Abdul Rahman mendakwa 20 peruntukan berkenaan adalah tidak sah kerana terdapat undang-undang Persekutuan yang turut meliputi kesalahan sama.

Kedua-duanya berpendirian, kuasa untuk menggubal undang-undang melibatkan perkara jenayah adalah di bawah bidang kuasa Parlimen manakala DUN hanya diberi hak untuk menggubal undang-undang berkaitan akidah Islam.

Justeru, mereka menggesa pihak mahkamah mengisytiharkan peruntukan terbabit batal dan tidak sah.

Loading...
Terkini