comscore
Tumpuan :
Nasional

Menteri Sumber Manusia pernah jadi Speaker bawah pokok

FOTO: Menteri Sumber Manusia V Sivakumar

KUALA LUMPUR: V Sivakumar yang dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia pernah mencatat sejarah dalam politik di Perak atau mungkin di Malaysia kerana ketika beliau menjadi Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), sidang DUN pernah berlangsung di bawah pokok hujan-hujan pada 3 Mac 2009.

Sivakumar pernah memanggil sidang tergempar untuk membentangkan usul ke atas peralihan tampuk kuasa kerajaan negeri.

Persidangan itu berlangsung di bawah pokok hujan-hujan selepas dipercayai Ahli Dewan Undangan Negeri daripada Pakatan Rakyat dihalang daripada memasuki bangunan Perak Darul Ridzuan yang menempatkan DUN.

Insiden itu menarik tumpuan ramai dan diingati sebagai peristiwa melucukan kerana prosiding itu berlaku di bawah sebatang pokok dengan Sivakumar lengkap berpakaian sebagai Speaker DUN dengan jubah dan songkok.

Memulakan kerjaya politik pada 1997 dengan menyertai DAP, Sivakumar pernah bertanding dalaam Pilihan Raya Umum ke-12 (PRU-12) pada 2008 dan menjadi Setiausaha Politik kepada bekas Menteri Sumber Manusia M Kulasegaran.

Selepas 25 tahun berkecimpung dalam politik, Sivakumar, 51, yang menyandang kerusi Parlimen Batu Gajah sejak 2013 dilantik sebagai Menteri Sumber Manusia di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Timbalan Setiausaha Agung DAP itu memperoleh Ijazah Sarjana Muda Ekonomi dengan pengkhususan dalam Pentadbiran Awam daripada Universiti Malaya pada 1994 dan seterusnya Ijazah Bersekutu dalam Pentadbiran Agensi Insurans (AIAA) daripada Life Office Management Association, Amerika Syarikat dalam tahun 2000.

Selain politik, bapa kepada dua anak itu secara profesional terbabit dengan Yayasan Perak, Ipoh selaku seorang daripada Lembaga Pengarahnya dalam 2019 dan Lembaga Pemegang Amanah (Kuala Lumpur) Majlis Promosi Eksport Getah Malaysia pada 2018.

Pada PRU-12, beliau memenangi kerusi DUN Tronoh di Perak sebagai muka baharu dan menewaskan calon Barisan Nasional (BN), Lee Kim Choy dengan majoriti 2,571 undi.

Pada tahun sama, beliau mengangkat sumpah sebagai Speaker DUN Perak dan melakar sejarah sebagai bangsa India pertama memegang jawatan itu.

Melangkah ke hadapan dalam profesion politiknya pada PRU-13, Sivakumar bertanding di Parlimen Batu Gajah dan memenangi pertembungan satu lawan satu dengan calon BN Loo Thin Tuck dengan majoriti 53,770 undi yang berjaya dipertahankan beliau sehingga kini.

Pada PRU-15, Sivakumar sekali lagi memenangi kerusi Parlimen Batu Gajah dengan majoriti 53,836 undi menewaskan wakil Perikatan Nasional Woo Cheong Yuen dan Teoh Chin Chong daripada BN. – BERNAMA

Loading...
Terkini