comscore
Tumpuan :
Nasional

Meremajakan agenda jaminan perlindungan sosial, pelengkap subsidi bersasar

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Agenda jaminan perlindungan sosial perlu dibuka seluasnya serta diremajakan dalam menyeimbangkan di antara keperluan perdagangan dan kepenggunaan.

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata, kaedah sedia ada seperti wakaf, endowmen dan perusahaan sosial perlu diketengahkan agar menjadi pelengkap kepada penyasaran semula subsidi.

“Sekiranya kita mempunyai jaminan perlindungan sosial dan penyasaran semula subsidi serta peranan pihak seperti wakaf, baitulmal dan lain-lain, saya percaya pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) oleh pencarum kerana kecemasan luar biasa boleh dinoktahkan.

“Kerangka keseluruhan ini sewajarnya boleh ‘menyambut’ kehidupan yang sukar kepada rakyat Malaysia sama ada di ketika keadaan biasa dan juga krisis,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Simposium Kos Sara Hidup (SCOL) 2023, di sini hari ini.

Teks ucapan beliau dibaca oleh Pemangku Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Armizan Mohd Ali.

SCOL diadakan buat julung kali pada 2021 sebagai platform untuk mendapatkan input, cadangan dan membuka ruang untuk perbincangan secara terbuka berkaitan permasalahan kos sara hidup.

Mengulas lanjut, menurut Ahmad Zahid, menjadi harapan kerajaan melihat jaringan perlindungan sosial diperbincangkan dengan lebih mendalam.

Ujarnya, pelbagai perkara telah diberikan fokus hasil SCOL 2021 seperti subsidi bersasar, pendapatan, memperkukuhkan agenda persaingan serta takrifan penerima iaitu tidak lagi melihat kepada kumpulan pendapatan, namun lebih kepada pendapatan boleh guna.

Justeru, beliau mahu SCOL 2023 perlu membincangkan perkara lain supaya ia boleh diberikan penekanan dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang.

“Saya berharap jaringan perlindungan sosial mendapat pelbagai maklum balas, input dan cadangan. Penubuhan Kluster Pendapatan di bawah Mesyuarat Khas Majlis Tindakan Sara Hidup (NACCOL), di mana ia turut membincangkan jaringan perlindungan sosial, adalah satu langkah awal,” katanya

Loading...
Terkini