comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] Mesyuarat Majlis Raja-Raja bincang isu kalimah Allah, cadang RUU kuasa negara luar

KUALA LUMPUR: Cadangan Rang Undang-Undang (RUU) Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing dan penggunaan kalimah Allah, antara intipati perbincangan Mesyuarat Majlis Raja-Raja ke-262 di Istana Negara selama dua hari, bermula semalam.

Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja, Tan Sri Syed Danial Syed Ahmad, berkata turut dibincangkan pelantikan Hakim-hakim Mahkamah Atasan dan Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Pendidikan (SP).

“Perbincangan juga membabitkan perkara menyentuh Perlembagaan Persekutuan iaitu cadangan pindaan Bahagian Ill berhubung kewarganegaraan, termasuk mengenai Cadangan RUU Kekebalan Bidang Kuasa Negara Asing.

“Perkara membabitkan agama Islam turut dibincangkan, termasuk Penggunaan Kalimah Allah dan beberapa perkara serta pelantikan Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI),” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Syed Danial berkata, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah hari ini berangkat menghadiri hari kedua mesyuarat itu, diiringi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Mesyuarat dipengerusikan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Almarhum Sultan Iskandar, selepas kali terakhir mesyuarat itu diadakan pada 22 dan 23 Februari lalu dipengerusikan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Mesyuarat hari ini dimulakan dengan sembah taklimat terkini keselamatan negara oleh Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain dan taklimat pertahanan negara oleh Panglima Angkatan Tentera, Jeneral Tan Sri Mohammad Ab Rahman.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, turut menyembahkan taklimat mengenai Pelan Induk Perindustrian Baharu (NIMP) 2023.

Pada hari pertama mesyuarat, Syed Danial berkata, semua Raja dan Yang di-Pertua Negeri berangkat hadir, termasuk Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Ibni Al-Sultan Abdullah, manakala Raja Perlis diwakili Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Tuanku Syed Sirajuddin Jamalullail.

Turut berangkat hadir, Sultan Kelantan yang diwakili Tengku Mahkota Kelantan, Dr Tengku Muhammad Fa-iz Petra dan Sarawak diwakili Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN), Tan Sri Datuk Amar Mohamad Asfia Awang Nasar.

Syed Danial berkata, memandangkan Mesyuarat Majlis Raja-Raja Yang Ke-262 adalah yang terakhir dihadiri oleh Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong ke-16, baginda mengambil kesempatan menzahirkan titah seraya disahuti titah balas oleh Sultan Johor selaku Raja yang mempengerusikan mesyuarat.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini